Home Nasional 43 mangsa terkandas di Bukit Bendera diselamatkan

43 mangsa terkandas di Bukit Bendera diselamatkan

GEORGE TOWN – Seramai 43 mangsa terdiri daripada pelancong dan pekerja di puncak Bukit Bendera yang terkandas sejak Sabtu lepas berjaya dibawa turun dengan selamat hari ini.

Seramai 31 daripada 43 mangsa itu diselamatkan melalui laluan udara menggunakan helikopter oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang manakala selebihnya turun menggunakan laluan darat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata semua mangsa yang diselamatkan adalah wanita termasuk warga emas dan sembilan kanak-kanak, mereka dibawa mendarat di padang Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), di Jalan Padang Tembak, di sini pada pukul 2.38 petang.

“Operasi menyelamat yang bermula pukul 10 pagi itu dibantu pelbagai agensi seperti polis, bomba, Agkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan kerjasama Perbadanan Bukit Bendera.

“Kami terpaksa menggunakan khidmat helikopter bomba Pulau Pinang dalam menyelamatkan mangsa berikutan laluan di sepanjang Bukit Bendera berisiko akibat tanah runtuh dan pokok tumbang,” katanya di sini hari ini.- BERNAMA