Home Utama TPM pertahan Zakir Naik

TPM pertahan Zakir Naik

Dr.Zakir Naik Abdul Karim.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan pendakwah terkenal  India, Dr. Zakir Naik dan kemasukannya ke negara adalah sah dan tidak terlibat dalam aktiviti keganasan.

Ahmad Zahid berkata, pihak Jabatan Imigresen sudah memberikan permit masuk kepada Zakir mengikut prosedur yang digariskan dan memiliki taraf pemastautin tetap yang sah.

“Permit masuk telah diberi kepada Zakir Naik oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan teratur mengikut prosedur setelah subjek memiliki permit masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen,” kata beliau yang juga Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menjelaskan, pihak KDN sentiasa memantau kegiatan Zakir dari masa ke semasa dan sekiranya didapati wujud kesalahan tindakan tegas akan diambil tanpa teragak-agak.

“Kerajaan sentiasa memantau kegiatan aktiviti Zakir Naik dimana pun dan kita akan mengambil tindakan sekiranya beliau didapati terlibat dalam aktiviti keganasan atau perkara menyalahi undang-undang, setakat ini beliau tidak terlibat dalam keganasan atau jenayah,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga berkata, kementerian itu telah meneliti semua ucapan yang dibuat pendakwah berkenaan.

“Kami di KDN telah meneliti semua video dan transkrip teks dari ucapan beliau, tidak ada satu pun (ucapan) menggalakkan kegananasan, tidak ada.

“Interpretasi (tanggapan) itu adalah daripada tokoh tertentu di luar,” katanya.

Berhubung dakwaan pembabitan Zakir dalam serangan pengganas di Dhaka India yang menyebabkan dia meninggalkan negara itu pada 2016, Zahid berkata ia juga merupakan suatu tanggapan.

“Peristiwa di Dhaka, itu adalah persepsi dari negara berkenaan.

“Apa yang berlaku di sana bukan disebabkan motivasi atau provokasi oleh Dr Zakir Naik, (tapi) ada faktor-faktor lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette