Home Politik Isu Bugis selesai tanpa campur tangan media – Azmin

Isu Bugis selesai tanpa campur tangan media – Azmin

Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan negeri.
Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan negeri.

SHAH ALAM – Isu penghinaan masyarakat Bugis dan Sultan Selangor yang disuarakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat diselesaikan tanpa campur tangan media.

Demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sambil menegaskan isu berkenaan diyakini dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Saya yakin perkara yang berbangkit antara Mahathir dengan dakwaan kononnya beliau menghina masyarakat Bugis itu boleh diselesaikan secara baik, bersopan, tanpa campur tangan media,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja selesai sesi penggulunggan perbahasan Belanjawan 2018 Selangor.

Sementara itu, Mohamed Azmin juga tidak menghalang mana-mana wakil rakyat di negeri itu untuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor berhubung perkara sama.

“Tak akan saya boleh halang, itu demokrasi. Siapa nak hantar, hantarlah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Shukur Idrus mahu berbuat demikian esok selepas kecewa usul tergempar untuk membahaskan isu penghinaan Mahathir itu ditolak Speaker, Hannah Yeoh, semalam.

Pada 2 November lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui satu titahnya berasa murka terhadap kenyataan Mahathir itu dan menyifatkan ia cuba menghasut rakyat untuk membenci masyarakat Bugis.

Sebaliknya Mahathir menjelaskan perkataan ‘lanun Bugis’ itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bukannya seluruh masyarakat Bugis. – MalaysiaGazette