Home Utama Zamihan pakar pulihkan pengganas, ekstremis – TPM

Zamihan pakar pulihkan pengganas, ekstremis – TPM

Ahmad Zahid Hamidi.
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakan kerajaan membenarkan pendakwah Dr. Zamihan Mat Zin yang kini mengendalikan program pemulihan tahanan militan Daesh dalam penjara di Tapah, Perak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, biar pun Zamihan tidak dibenarkan berceramah di Selangor namun kepakaran dalam bidang pemulihan masih boleh digunakan kerajaan.

Zamihan Mat Zin
Katanya, Zamihan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang dipinjamkan Kementerian Dalam Negeri bagi menyemak penerbitan agama dan kini ditempatkan di Jabatan Penjara Malaysia sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

“Sebagai pengganas atau penyumbang dana untuk lakukan aktiviti keganasan, program deradikalisasi ini sebenarnya diwujudkan secara manual mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu,Inggeris, Perancis dan Arab.

“Dalam perkara ini, Zamihan adalah salah seorang pakar pemulihan ini dan mengikut rekod diperoleh, kejayaan pemulihan akidah yang dilaksanakan Zamihan sebelum ini cukup berjaya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Maka, katanya, dalam perkara berkenaan, Zamihan bagi kerajaan merupakan aset yang penting dalam pemulihan akidah untuk terhadap pengganas apatah lagi mengembalikan mereka ke jalan benar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih membiarkan Zamihan mengendalikan program pemulihan tahanan militan IS walaupun sudah diharamkannya di Selangor.

“Saya tidak difikir beliau (Zamihan) harus dihukum dengan jawatan yang diberikan penjara itu,” ujarnya.- MalaysiaGazette