ENGLAND – Roman Abramovich telah mengadakan rundingan dalam membawa masuk pelaburan bernilai £500 juta (RM2.7 bilion) untuk pembangunan stadium baharu Chelsea.
Laporan di England mendakwa pengurusan Chelsea bertemu sekumpulan pelabur China di Stamford Bridge minggu lalu.
Sebuah syarikat konsortium dari Timur negara Asia itu bersedia melabur £500 juta untuk pembangunan stadium baharu The Blues.
Laporan turut mendakwa bahawa Abramovich tidak bercadang untuk menjual mana-mana bahagian di Chelsea kepada kumpulan pelabur China itu.
Tetapi jutawan Rusia itu mahu meneroka pasaran baharu untuk menyokong sumber kewangan bagi pembangunan stadium baharu kelab itu.
Projek stadium baharu Chelsea telah diberi lampu hijau oleh Datuk Bandar London, Sadiq Khan pada Mac lalu.
Stadium sedia ada di Stamford Bridge yang berkapasiti 45,000 penonton akan digantikan dengan stadium baharu di tempat yang sama dan boleh memuatkan kapasiti 60,000 penyokong.
Ia dijangkakan siap menjelang tahun 2021-22 tetapi Chelsea perlu mengosongkan stadium sedia ada sebagai memberi laluan kepada pembinaan baharu. – MalaysiaGazette