Home Politik Jamal nak saman Zuraida pula

Jamal nak saman Zuraida pula

Jamal memasak lauk di restoran yang menyajikan makanan percuma di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md. Yunos tidak berpuas hati dengan Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin yang menyuruhnya supaya berkelakuan lebih ‘siuman’ selepas memenangi kes saman Selasa lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu mempertikaikan tindakan Ketua Wanita Pakatan Harapan yang masih membangkitkan isu sama tersebut walhal kes tersebut sudah diselesaikan luar mahkamah dan beliau pun sudah meminta maaf secara terbuka.

““Saya telah pun menarik kembali kata-kata saya, seperti yang saya katakan sebelum ini dan beliau pun bersetuju.

“Tetapi malangnya, di luar mahkamah beliau kata saya macam-macam, tidak siuman dan kata saya memohon maaf di depan hakim di mahkamah terbuka.

“Beliau kata dia berjaya menjinakkan saya, saya seorang yang buas. Jadi ini adalah satu kenyataan yang saya anggap cukup menghina,” beliau dipetik berkata dalam portal MalaysiaKini.

Menurut Jamal, peguamnya sudah diarahkan untuk menyaman pula pemimpin PKR itu kerana kata-katanya yang menghina itu.

“Saya telah pun mengarahkan peguam-peguam saya untuk saman Zuraida,” katanya.

Pada sidang akhbarnya, selepas penyelesaian mahkamah, Zuraida didakwa berkata, bahawa Jamal telah memohon maaf kepadanya dalam penyelesaian itu dan bahawa dirinya berpuas hati kerana ‘berjaya menjinakkannya’.

Beliau juga dilaporkan menggesa Jamal supaya tidak melakukan perkara-perkara ‘tidak siuman’ dan membuli orang lain. – MalaysiaGazette

Selepas selesai saman, Zuraida harap Jamal lebih ‘siuman’