KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia dan bintang sensasi Barcelona, Luis Suarez menjalinkan kerjasama strategik sebagai usaha mempromosi lebih ramai pelancong khususnya peminat bola sepak antarabangsa melancong ke negara ini.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jalinan kerjasama itu dijangka dapat meningkatkan populariti Malaysia sebagai destinasi pelancongan di Asia sekali gus merancakkan industri pelancongan Malaysia.
“Suarez juga menjadi inspirasi kepada ramai orang dan kami berharap dengan kerjasama ini akan mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan tropika yang menawarkan pengembaraan berterusan kepada semua pelancong,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Kontrak kerjasama selama setahun ini ditandatangani antara Tourism Malaysia dan wakil Suarez di Asia, Mediapro hari ini.
Perjanjian berkenaan merupakan sebahagian daripada pemasaran Tourism Malaysia dan pelan promosi Malaysia sebagai destinasi pelacongan antarabangsa selain daripada menarik minat orang ramai melawat negara ini.
Suarez pernah memenangi dua kejuaraan LaLiga dan juara Liga Juara Juara Eropah bersama Barcelona sementara beliau dijangka mengetuai negaranya, Uruguay dalam Piala Dunia di Rusia tahun depan.
“Ini merupakan satu penghargaan dan penghormatan dapat bekerjasama dengan Malaysia, negara yang kaya dengan kepelbagaian serta mempunyai pantai yang cantik dan resort bertaraf dunia. Saya teruja untuk memperkenalkan negara ini yang kaya dengan warisan dan sejarah kepada dunia khususnya penyokong-penyokong saya,” kata Suarez.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mediapro Asia, Lars Heidenreich berkata, LaLiga dan Tourism Malaysia bekerjasama untuk tempoh setahun bagi memastikan Malaysia merupakan destinasi pelancongan pilihan di rantau Asia khususnya menerusi pemilihan bintang berkelas dunia seperti Suarez.
“Bintang Barcelona ini sangat popular di Asia dan kami yakin jenama dan kerjasama dengan Suarez dapat menarik lebih ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan serta merasai sendiri pengalaman ‘Malaysia Truly Asia’,” katanya. – MalaysiaGazette