Home Politik Surat tular: Selangor arah henti langgan Utusan, Berita Harian

Surat tular: Selangor arah henti langgan Utusan, Berita Harian

Surat Pekeliling daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang ditular di media sosial, hari ini mengarahkan langganan surat khabar dari Kumpulan Utusan dan Berita Harian dihentikan serta-merta.

KUALA LUMPUR – Kebebasan media dan maklumat yang dilaung-laungkan Kerajaan Negeri Selangor kini kian terhakis apabila langganan surat khabar dari media arus perdana di pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) didakwa disekat serta-merta.

Sekatan itu dipercayai berpunca daripada ‘tangan ghaib’ yang mengarahkan penjawat awam negeri itu untuk berhenti daripada membaca dan mendapatkan maklumat daripada akhbar arus perdana yang dilihat pro-Barisan Nasional (BN).

Melalui penyebaran surat pekeliling dengan kepala surat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 9 November 2017 yang tular di media sosial hari ini membuktikan wujud arahan itu.

Surat kerajaan negeri setebal dua muka surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya itu mengarahkan pemberhentian langganan surat khabar terutamanya dari Kumpulan Utusan dan Berita Harian.

Menurut surat itu, arahan itu bukan perkara baharu malah pemberhentian langganan dan pengiklanan dengan akhbar berkenaan dibuat melalui Surat Hebahan SUK Bil.40 Tahun 2008 bertarikh 12 Jun 2008 dan ia masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

Surat Pekeliling daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang ditular di media sosial, hari ini mengarahkan langganan surat khabar dari Kumpulan Utusan dan Berita Harian dihentikan serta-merta.

Tindakan itu dilihat tidak selari dengan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 yang diperkenalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjadi Menteri Besar Selangor.

Surat itu turut mendedahkan, sejak arahan itu dikeluarkan pada 12 Jun 2008, terdapat jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri yang masih mengingkari arahan tersebut.

Sebaliknya surat itu mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri hanya melanggan tiga surat khabar iaitu Selangor Kini, Sinar Harian dan The Star.

Umum mengetahui ketiga-tiga akhbar terbabit banyak melaporkan aktiviti, perkembangan semasa dan kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini dan kini Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette