Home Politik Tun M lantik pengikut tidak cerdik bagi kekal berkuasa

Tun M lantik pengikut tidak cerdik bagi kekal berkuasa

Kamarulazman Habibur Rahman.
KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa mengekalkan kedudukan dalam UMNO dan memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun dengan melantik timbalan dan orang-orang bawahannya yang tidak cerdik.

Demikian kata bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulzaman Habibur Rahman sambil menegaskan tidak hairan apabila Mahathir cuba membawa acuan tersebut dalam parti serpihan UMNO itu.

“Berada dalam parti ini (UMNO) saya melihat bahawa itu adalah acuan Tun M. Mungkin acuan Tun M untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO selama beberapa puluh tahun.

“Itu cuba diamalkan oleh Tun M dalam PPBM ini,” katanya semasa Forum PPBM Penyebab Kemusnahan Bangsa Siri 1: Penubuhan Bermotifkan Kepentingan Peribadi, hari ini.

Kamarulzaman juga mendedahkan bahawa Mahathir juga selalu mengulangi ungkapan bahawa UMNO akan menjadi sebuah parti politik untuk orang-orang yang tidak cerdik.

“Tun M selalu kata, bahawa pemimpin-pemimpin UMNO ini terdiri daripada mereka yang kurang bijak.

“Pemimpin-pemimpin ini pula apabila hendak mengekalkan kedudukan mereka melantik Timbalan atau orang-orang di bawah mereka yang kurang cerdik daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata, Mahathir tidak boleh dikritik seperti seorang bapa antara penyebab utama bekas setiausaha PPBM itu keluar dari parti yang diasaskan oleh bekas presiden UMNO itu.

“Apa saja yang dibuat oleh Tun M ini adalah benar belaka. Sesiapa yang mengkritik Tun M ini akan dianggap derhaka tuannya.

“Mungkin masyarakat Malaysia atau orang Melayu ini tidak gemar atau selesa dengan kritikan terhadap Tun M.

“Tetapi berada dalam parti ini (UMNO) saya dapati apa saja yang diperkatakan oleh Tun M hanyalah usaha mengkritik Datuk Seri Najib saja,” ulasnya.

Beliau berkata, mengikut sejarah, selalunya pemimpin-pemimpin agung dunia ini akhirnya dijatuhkan oleh orang kanan mereka ataupun jeneral utama mereka,

“Jadi beberapa tahun menyanjung tinggi Tun M akhirnya saya nampak lompong kelemahan-kelemahan yang Tun M amalkan selama ini yang menjadi penyebab kelemahan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette