Home Nasional Polis diserang sekumpulan lelaki warga China

Polis diserang sekumpulan lelaki warga China

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah

KUALA LUMPUR – Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan bagi mempertahankan diri apabila diserang sekumpulan lelaki warga China ketika membuat pemeriksaan di Jalan Abraham Off Jalan Khoo Teik Ee di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, tujuh anggota pasukan rondaan cegah jenayah membuat pemeriksaan setelah menerima maklumat mengenai pekerja kontrak bermain judi di halaman rumah sebelum diserang kira-kira 30 lelaki.

“Keadaan tidak terkawal dan anggota dari Balai Tun H.S. Lee itu telah melepaskan empat das tembakan amaran untuk mempertahankan diri namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, empat pasukan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) digerakkan ke lokasi kejadian untuk bantuan sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

Shaharudin berkata, kumpulan lelaki China itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk didokumentasi setelah mendapati keadaan terkawal apabila beliau tiba di tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati beberapa buah rumah di kawasan berkenaan dijadikan sebagai rumah kongsi untuk pekerja warga China.

“Terdapat 200 pekerja warga China yang dipercayai tinggal di sekitar kawasan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette