Home Utama Trump secara rasmi batalkan TPP

Trump secara rasmi batalkan TPP

Donald Trump
Donald Trump

WASHINGTON – Presiden Donald Trump secara rasmi membatalkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan menandatangani perintah eksekutif hari ini.

Keputusan itu sekali gus memenuhi janji yang pernah dibuat semasa kempen presiden dan menepati ikrar yang mahu mendahulukan Amerika.

Perjanjian perdagangan itu adalah polisi Asia semasa pemerintahan Barack Obama, didakwa Trump sebagai satu perjanjian berat sebelah.

“Apa yang kami lakukan tadi adalah perkara terbaik untuk pekerja Amerika,” kata Trump selepas menurunkan tandatangan itu di Pejabat Oval.

Perintah eksekutif  bagi membatalkan TPP itu adalah simbolik besar memandangkan perjanjian itu tidak disahkan oleh Kongres Amerika Syarikat.

Semasa kempen presiden, Trump mengkritik TPP yang disifatkan sebagai potensi bencana kepada Amerika Syarikat kerana ia menjejaskan sektor pembuatan di negara itu.

TPP adalah perjanjian perdagangan yang meliputi 40 peratus ekonomi dunia yang menjalani rundingan pada tahun 2015.

Selain Amerika Syarikat, negara lain yang terlibat ialah Jepun, Malaysia, Australia, New Zealand, Kanada dan Mexico,

TPP bertujuan untuk mengukuhkan ekonomi dan merangsang pertumbuhan termasuk mengurangkan tarif-tarif.

Perjanjian itu disokong kuat oleh perniagaan-perniagaan Amerika Syarikat, dilihat berpotensi untuk mewujudkan pasaran tunggal seperti Kesatuan Eropah.

Tindakan eksekutif adalah hanya satu sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump untuk menumpukan perhatian kepada rancangan radikal membentuk semula dasar perdagangan Amerika Syarikat, menjadikannya lebih kukuh.

Presiden baharu Amerika Syarikat itu juga mengancam untuk mengenakan tarif perdagangan sebagai satu cara untuk memulihkan pembuatan Amerika dan memaksa syarikat-syarikat negara itu agar tidak menjalankan operasi pengilangan di luar negara.

Selepas menandatangan perintah itu, Trump juga mengumumkan untuk mengurangkan dana bagi kumpulan-kumpulan antarabangsa yang membabitkan pengguguran dan membekukan pengambilan beberapa pekerja persekutuan. – MalaysiaGazette