Home Nasional Orang politik jangan guna NGO untuk kepentingan peribadi – Ali Tinju

Orang politik jangan guna NGO untuk kepentingan peribadi – Ali Tinju

Mohd Ali Baharom

KUALA LUMPUR – Orang-orang politik diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menggunakan badan bukan kerajaan (NGO) untuk kepentingan peribadi.

Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia, Mohd. Ali Baharom berkata, ketika ini banyak NGO tidak lagi mahu menjalankan fungsi dan peranan mereka dalam membantu kerajaan ekoran kecewa apabila merasa dipinggirkan.

“Jika NGO ini dibawa bersama dan tidak dibiar terlepas pandang mereka boleh membantu kerajaan dalam menyampaikan dasarnya kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semalam.

Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, satu lagi masalah dihadapi NGO apabila adanya sekatan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa politik menghalang kerja-kerja kebaikan dilakukan oleh badan bukan kerajaan ini.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana NGO-NGO yang wujud bukannya mahu ‘membenamkan’ kerajaan sebaliknya, mereka membantu memperjelas matlamat yang dibawa dengan menggunakan kaedah dan cara tersendiri.

“Saya dah hampir 20 tahun bersama dengan UMNO dan Barisan Nasional termasuk NGO-NGO. Bila kita lantang bercakap mereka yang berkuasa ini cuba menghalang dengan tidak membenarkan media untuk hadir dalam program yang diundang.

“Setiap negeri ada NGO masing-masing, dan mereka ini jika tidak dibantu oleh media bagaimana NGO ini boleh menonjolkan diri dan didekati oleh masyarakat,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar perkara seperti itu dapat diberi perhatian supaya tidak berterusan. – MalaysiaGazette