Home Nasional Tekong Vietnam cuba rasuah anggota APMM ditahan

Tekong Vietnam cuba rasuah anggota APMM ditahan

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Cawangan Kluang menahan dua tekong warga Vietnam kerana disyaki cuba merasuah anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) baru-baru ini.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki itu cuba merasuah seorang anggota APMM berpangkat bentara kanan yang bertugas di APMM Mersing sebanyak RM10,000 ketika anggota tersebut sedang melakukan rondaan di perairan Pulau Harimau, Mersing.

“Hasil siasatan, wang tersebut adalah sebagai dorongan untuk melepaskan dua bot Vietnam atas beberapa kesalahan antaranya gagal mengemukakan lesen bot, dua orang tidak mempunyai pasport yang sah dan memiliki peralatan tangguk tunda di atas bot.

“Kedua-dua suspek berumur 27 dan 28 tahun itu juga ditahan kerana memberikan wang rasuah terlebih dahulu kepada pengadu berjumlah RM500 dan RM800 bagi melepaskan bot mereka atas kesalahan sama, ” kata sumber.

Mereka ditahan kira-kira 11.00 pagi semalam bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Dato Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman.

Terdahulu, SPRM bersama APMM telah mewujudkan rangkaian kerjasama dalam usaha memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa khususnya melibatkan kejadian isu pencerobohan bot nelayan di perairan Malaysia.

Kerjasama menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu bermula dengan perkongsian maklumat antara SPRM dan APMM berkaitan isu pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam.

Dengan kerjasama dan sokongan jitu yang diberikan APMM, satu operasi bersama dikenali sebagai ‘Op Armada’ telah dilancarkan sejak Januari tahun ini.

Melalui operasi itu maklumat yang diperolehi akan dikumpul selepas disyaki wujudnya kegiatan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pencerobohan nelayan asing yang menggunakan orang tengah ataupun runner untuk berunding dengan agensi penguatkuasaan di Malaysia agar tindakan tidak diambil ke atas kegiatan mereka.

Sindiket ini dikatakan beroperasi secara haram melibatkan kegiatan penangkapan hasil laut di kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung, perairan Johor, Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette