Home Ekonomi Kadar muflis pemegang kad kredit menurun

Kadar muflis pemegang kad kredit menurun

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kadar muflis dalam kalangan pemegang kad kredit di negara ini menurun walaupun jumlah pemilik kad itu bertambah di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, sejak sembilan bulan pertama tahun ini terdapat sembilan orang pemegang kad kredit yang berumur lebih 30 tahun diisytihar muflis berbanding 22 pada tahun lalu.

Katanya, golongan muda adalah pemegang kad kredit paling ramai di negara ini.

“Kadar muflis sudah berkurangan, hanya 1.1 peratus sahaja pemegang kad kredit yang muflis,” katanya ketika menjawab soalan hutang kad kredit oleh Sapawi Ahmad Wasali (BN- Sipitang) di Parlimen hari ini.

Othman berkata, Bank Negara Malaysia sentiasa memantau situasi itu dan Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengawal pengguna dalam melunaskan hutang-hutang, selain memberi kesedaran menerusi program-program pendidikan kewangan.

Tambahnya, hutang isu rumah pada tahun ini juga menurun kepada 85 peratus berbanding 89 peratus sebelum ini. – MalaysiaGazette