Home Nasional Larang pakai tudung di hotel 5 bintang melampau – Vell Paari

Larang pakai tudung di hotel 5 bintang melampau – Vell Paari

S. Vell Paari

KUALA LUMPUR – Perintah larangan bertudung bagi mana-mana wanita yang bekerja di hotel lima bintang di negara ini adalah sesuatu yang melampaui batas dan tidak menghormati hak beragama yang majoritinya Islam.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee berhubung larangan pemakaian tudung di kaunter hadapan.

“Saya terkejut dan kesal. Saya juga tahu tentang standard operasi (SOP) setiap terutamanya hotel antarabangsa.

“Tetapi, MAH sudah lupakah ini adalah negara majmuk dan majoritinya adalah yang beragama Islam? Kita tidak perlu gunakan SOP tersebut.

“Malah kenyataan Swee Kee yang mahu mana-mana pekerja yang enggan mematuhi SOP itu boleh mencari kerja di hotel lain.

“Ini sangat bongkak dan saya ingin ingatkan Swee Kee dan MAH, Malaysia adalah negara berbilang kaum dan sebarang diskriminasi kaum serta agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima pakai langsung.

“Saya juga banyak ke luar negara dan tinggal di hotel yang mempunyai wanita yang memakai tudung tanpa sebarang masalah temasuk negara Asia Barat. Jadi apa masalahnya di sini?

“Jangan keluarkan kenyataan sesuka hati yang akhirnya boleh memberi kesan kepada keharmonian yang sudah lama terbina,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.

Vell Paari turut menempelak MAH kerana mereka begitu prihatin dengan SOP hotel lima bintang antarabangsa maka sudah menjadi ‘kewajipan’ mereka untuk juga membayar lagi taraf lima bintang seperti di London, New York dan negara-negara maju lain.

“Jangan hanya bercakap untuk kepentingan satu pihak sahaja.  Saya juga ingin mengingatkan persatuan bahawa hotel bertaraf lima ini juga beroperasi di Asia Barat tetapi tidak ada isu dengan wanita Islam memakai tudung di sana. Jadi mengapa ia harus menjadi isu di Malaysia?” soalnya.

Dalam pada itu, jelas Vell Paari, sudah tiba masa rakyat Malaysia bangkit menentang diskriminasi kaum terutamnya terhadap wanita di Malaysia.

“Sebelum ini, kita ada isu dobi untuk pengguna Islam sahaja di Johor. Kita perlu bangkit sama-sama tentang isu seperti ini,” ujarnya lagi.

Justeru, Vell Paari juga menggesa kerajaan mendesak MAH untuk mendedahkan hotel-hotel bertaraf lima bintang yang mengharamkan penggunaan tudung.- MalaysiaGazette

Kaji larangan wanita bertudung oleh sektor perhotelan