Home Politik PAU2017: UMNO terbuka terima usul luar

PAU2017: UMNO terbuka terima usul luar

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Penganjuran Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 pada 19 November ini membuktikan UMNO sentiasa terbuka menerima pandangan semua pihak.

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, konvensyen itu memberi peluang kepada pelbagai pihak berkepentingan dan pelbagai lapisan masyarakat menyuarakan hasrat dan pandangan mereka.

“Segala hasil perbincangan kemudiannya akan dijadikan panduan oleh jurucakap yang akan membahaskan usul sepanjang PAU2017 tahun ini.

“Ia membuktikan UMNO sebuah parti inklusif membuka ruang dan peluang kepada pihak berkepentingan termasuk bukan ahli UMNO memberi cadangan,” katanya kepada pemberita di bilik media Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra  hari ini.

Hishammuddin juga berkata, konvensyen itu juga dijadikan sebagai platform untuk memperhalusi serta mengangkat usul-usul menyentuh kepentingan dan masa depan rakyat dalam PAU2017.

“Kita dalam UMNO sejak dari dulu saya kata cukup inklusif dan demokratik.

“Konvensyen ini akan jadi wadah utama kepada tokoh dan pemimpin Melayu yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Mereka akan berkongsi pandangan serta menyumbang kepada kemajuan rakyat dan parti,” katanya. – MalaysiaGazette