KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada menyalahkan persiapan singkat bagi menghadapi Korea Utara dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 sebagai antara punca kekalahan skuad negara berdepan pasukan lawan yang lebih mantap.
Jurulatih kelahiran Portugal itu berkata, pasukannya tidak membuat persediaan sebaiknya berdepan Korea Utara, yang ternyata berada pada kedudukan lebih baik dari Malaysia dalam ranking dunia.
“Berdepan pasukan seperti Korea Utara, kita perlu membuat persediaan rapi, dalam beberapa bulan dan bukan beberapa hari seperti dilakukan sebelum ini. Kita tiba di Buriram 7 November, dan menjalani latihan pertama hari berikutnya dan turun beraksi pada 10 November dan tiga hari kemudian,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Korea Utara di Stadium i-mobile di Buriram,Thailand, malam tadi.
Berikutan kekalahan terbaru itu, Vingada masih belum meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan sejak dilantik sebagai ketua jurulatih skuad negara pada Mei lepas.
Biarpun tewas, pengendali berusia 64 tahun itu yang membuat enam pertukaran dalam kesebelasan utama berkata, pemain Malaysia beraksi lebih baik malam tadi berbanding ketika perlawanan pertama menentang Korea Utara, Jumaat lepas, dengan menguasai bola lambung berdepan pemain lawan yang lebih tinggi.
Membariskan enam pemain daripada skuad Bawah 22 Tahun, Vingada berkata, mereka beraksi dengan baik tanpa gementar berdepan pemain lawan yang lebih bagus.
“Penjaga gol kita tidak banyak selamatkan bola sepanjang perlawanan,” katanya, namun menambah, agak leka ketika sepakan percuma sehingga membolehkan Korea Utara menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama, dan memusnahkan harapan Malaysia untuk kembali memberikan tentangan.
Beliau mengakui corak bertahan ketika sepakan percuma, terutama berdepan lawan yang lebih tegap dan tinggi adalah antara kelemahan pemain Malaysia.
Beliau berkata, barisan pemain negara mempamerkan permainan lebih baik pada separuh masa kedua dengan mencipta beberapa peluang, dan hasilnya pemain gantian Safawi Rasid sekali lagi berjaya menjaringkan gol sagu hati Malaysia pada penghujung permainan.
Sementara itu, ketua jurulatih Korea Utara, Jorn Andersen berkata, beliau mengetahui kelemahan pemain Malaysia ketika bertahan semasa sepakan percuma, justeru merencanakan taktik untuk memanfaatkan peluang tersebut.
Beliau berkata, taktik yang digunakan itu membuahkan hasil apabila memperoleh dua gol menerusi sepakan percuma.
Andersen berkata dengan maksimum enam mata hasil dua kemenangan ke atas Malaysia, pasukannya berada di kedudukan terbaik untuk layak beraksi dalam saingan Piala Asia 2019.-MalaysiaGazette