Home Politik Mukhriz mahu saman pihak tular gambar anaknya

Mukhriz mahu saman pihak tular gambar anaknya

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir menimbang untuk menyaman terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menjadi dalang dalam penularan gambar peribadi anak-anaknya dalam media sosial.

Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu  sudah merujuk dengan peguamnya bagi tindakan susulan apabila terdapat tuduhan dibuat mendakwa kononnnya kemewahan diperoleh hasil daripada wang rakyat yang dicuri.

“Ada disebut dalam kenyataan itu, konon kemewahan ditunjukkan dalam gambar berkenaan dari sumber yang dikatakan curi wang rakyat. Jika dilapor begitu, saya berhak pertimbang tindakan perundangan kerana itu fitnah serius,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Mukhriz juga membidas dua akhbar tempatan yang mengeluarkan laporan daripada penularan tuduhan dalam laman media sosial itu.

“Kita siasat siapa pemilik Facebook itu, termasuk pihak berkaitan. Mereka guna gambar peribadi (keluarga) untuk beri gambaran negatif terhadap ahli politik dengan libatkan ahli keluarga, ia tak wajar berlaku,” katanya.

Mukhriz berkata, tuduhan mencuri wang rakyat serius kerana sumber kekayaan bukan daripada hasil seperti didakwa.

“Saya fikir ia perbuatan pihak sama. Perkara sebegini berlaku secara bersiri, sejak dulu lagi serangan peribadi terhadap saya dan keluarga bertali arus.

“Sebelum ini, pejabat saya dan ahli keluarga diperiksa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serentak, setelah lebih dua bulan dapat surat katanya salah satu syarikat saya tak bayar cukai RM21,000 (2009), apabila disemak sudah dibayar,” katanya.

Mukhriz turut mempersoal nilai berita yang dipaparkan itu kerana ia bersifat terlalu peribadi.

Kelmarin, akhbar tempatan menyiarkan kemewahan anak-anak Mukhriz bercuti atas bot mewah yang tertera nama anaknya, yang didakwa dimuat naik pengendali akaun Facebook, Sudahlah Mahathir.

Gambar itu dikatakan diambil dari Instagram anak Mukhriz ketika bercuti di luar negara.- MalaysiaGazette