KUALA LUMPUR – Ramalan bertambah kuat mengatakan bahawa Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman merancang untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal.
Malah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pula memberi bayangan kemungkinan besar PRN Sabah akan diadakan lebih awal daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Sebelum ini pilihan raya pernah diadakan lebih awal di negeri Sabah. Oleh itu, tidak ada keperluan untuk menunggu sehingga PRU14 bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Walaupun ramalan bertambah kuat mengatakan kononnya PRN Sabah akan diadakan lebih awal, kami disarankan Musa Aman supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya,” kata yang dipetik akhbar, Tamil Nesan.
Baru-baru ini Musa Aman pernah meminta para pemimpin supaya turun ke peringkat akar umbi berjumpa rakyat dan bekerja bersungguh-sungguh seperti Pilihan Raya sudah tiba.
Adalah jelas Musa Aman yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang menang kerusi lebih banyak sekiranya PRN Sabah berlangsung lebih awal kali ini.
Pada PRU13, pembangkang mudah meresap masuk ke negeri Sabah ekoran beberapa isu nasional yang dibangkitkan kepada rakyat.
Terdapat juga maklumat mengatakan kononnya PRN dirancang lebih awal di Sabah kali ini untuk menyekat pengaruh dan populariti pembangkang yang ada di negeri itu.
Sekiranya BN bercadang untuk mengadakan PRN lebih awal di Sabah pada April ini, 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang diwujudkan sebelum ini dikatakan tidak akan terlibat dalam pilihan raya tersebut.
Isu 13 kerusi DUN yang diwujudkan pada tahun lalu bakal dibincangkan dalam sidang Parlimen yang akan bermula Mac ini.
Sabah kini memiliki 60 kerusi DUN. – MalaysiaGazette