Home Sukan Gugur jurulatih pun tak mampu pulihkan Harimau Malaya

Gugur jurulatih pun tak mampu pulihkan Harimau Malaya

Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin (kiri) bersalaman dengan warga FELDA ketika hadir pada program Dialog TN50X : Pemimpin Generasi Baharu FELDA sambil diiringi Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (tengah) di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPURĀ  – Prestasi skuad Harimau Malaya yang tumpas 1-4 kepada Korea Selatan semalam adalah cerminan struktur pembangunan bola sepak Malaysia selama ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan, sekiranya jurulatih skuad kebangsaan digugurkan sekali pun, ia tidak mampu memulihkan prestasi Harimau Malaya.

Ini kerana pemulihan struktur pembangunan bola sepak perlu mengambil masa yang lama.

“Siapa (jurulatih) pun yang hadir, keadaan tetap sama.

“Kita jangan cepat menghukum. Memang skuad senior kita mengalami prestasi yang tidak memberangsangkan kerana ia adalah cerminan struktur pembangunan bola sepak Malaysia selama ini.

“Skuad junior kita lebih baik kerana struktur pembangunan bola sepak sedang dilaksanakan namun ianya perlu mengambil masa sedikit.

“Mungkin dalam tempoh lima tahun apabila mereka memasuki skuad senior, perubahan ke atas prestasi bola sepak negara akan lebih ketara kerana kita sedang melakukan perubahan tersebut ketika ini,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri majlis TN50 bersama Felda di sini hari ini.

Khairy mengulas mengenai prestasi hambar skuad bola sepak negara sejak akhir-akhir ini dan terbaharu kalah 1-4 kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand, semalam.

Ketika pelbagai pihak menunding jari kepada pemain dan jurulatih Harimau Malaya, Khairy mengambil sikap terbuka dan memandang kehadapan.

Beliau bagaimanapun tetap yakin keadaan akan berubah apabila pelan pembangunan bola sepak yang dilaksanakan sama ada melalui kementeriannya ataupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuahkan hasil.

“Skuad senior sudah dihantui dengan masalah struktur selama bertahun-tahun. Saya percaya masih ada sinar di hujung terowong,” katanya.-MalaysiaGazette