Home Akhbar Cina Pemilihan semula DAP panjangkan hayat setiausaha agung

Pemilihan semula DAP panjangkan hayat setiausaha agung

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan arahan ROS kepada DAP untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2017
PULAI PINANG – DAP yang mempunyai sejarah selama 51 tahun gagal membebaskan diri daripada imej “DAP ialah Lim Kit Siang, Lim Kit Siang ialah DAP” dan keadaan itu terbukti sekali lagi dalam pemilihan semula parti itu baru-baru ini.
Liu Han Liang, perunding editorial Guang Ming Daily berkata, Lim Guan Eng patut ‘berterima kasih’ kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana mengenakan syarat ketat dan mengkehendaki DAP mengadakan pemilihan secara berulang kali.
Katanya, ‘berkat’ daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan itu telah membolehkan Lim Guan Eng dilantik semula sebagai setiausaha agung untuk mentadbir DAP sekali lagi bersama bapanya untuk tempoh yang lebih lama.
DAP mensyaratkan bahawa seseorang hanya boleh menjadi setiausaha agung parti secara maksimum tiga penggal.
Keadaan itu bermakna Guan Eng yang menerima jawatan itu pada 2004 perlu bersiap sedia untuk menyerah tampuk, tetapi pemilihan demi pemilihan yang tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan telah memanjangkan hayat Guan Eng sebagai setiausaha agung.
“Jika pemilihan yang dilakukan 15 Disember 2012 dan 29 September 2013 diterima ROS, maka Guan Eng sudah tidak lagi boleh menjadi setiausaha agung,” kata Han Liang.
Menurut Han Liang, Guan Eng menerima restu yang besar untuk terus memimpin DAP kerana dua faktor.
“Perwakilan DAP nampaknya mengakui kemampuan Guan Eng dalam memimpin Pulau Pinang yang dilanda banjir besar dan mereka mahu Guan Eng terus menghadapi cabaran besar yang mendatang.
“Selain itu, perwakilan mahu Guan Eng yang menerima ‘penganiayaan politik’ untuk memimpin DAP dan Pakatan Harapan untuk terus mencatat kemenangan di Pulau Pinang,” katanya.
Walaupun berjaya mempertahankan kedudukan dalam parti dengan undi yang tinggi, kedudukan Guan Eng dalam politik terutamanya kemampuannya untuk mempertahankan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang masih menjadi tanda tanya berikutan kes rasuah yang membelenggunya.
“Beliau bakal berdepan cabaran yang besar jika gagal membebaskan diri daripada kes rasuah ini,” kata Han Liang.
Seorang lagi penganalisis politik Pulau Pinang, Datuk Cheah See Kian berkata, keputusan pemilihan semula DAP menunjukkan parti itu berjaya mengekalkan barisan yang harmoni untuk menghadapi pilihan raya.
Katanya, DAP turut mengekalkan ‘tradisi parti’ iaitu terus menjadikan Lim Kit Siang sebagai ‘simbol parti’. – MalaysiaGazette