Home Politik Bekas ahli lapor polis selepas dakwa diugut samseng upahan DAP

Bekas ahli lapor polis selepas dakwa diugut samseng upahan DAP

Tan Chee Chong menunjukkan gambar lelaki yang mengugut beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 NOVEMBER 2017.

PETALING JAYA – Bekas ahli DAP, Tan Chee Chong hari ini membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya selepas diugut dan cubaan melanggarnya ketika pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC), pada Ahad lalu.

Chee Chong berkata, insiden itu berlaku ketika dia dan beberapa bekas ahli DAP lain mengadakan bantahan secara aman ketika CEC DAP sedang berlangsung namun dia dikasari oleh seorang individu yang tidak dikenali.

“Laporan polis saya ini dibuat ke atas seorang lelaki berbaju oren keluar dari kereta SUV nombor pendaftaran PLU72.

“Lelaki tersebut mengganggu sidang media saya di IDCC, Seksyen 15 Shah Alam pada 12 November 2017 dengan membunyikan hon kereta dan meluru ke arah saya dengan cara menakutkan dan memanggil saya barua upahan.

“Tujuan lelaki itu bukan saja mahu menakutkan malah mahu ajak bergaduh seperti seorang gangster dan samseng,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Balai Polis Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Chee Chong bersama lebih 10 bekas ahli DAP membawa kain rentang ke lokasi pemilihan CEC DAP di IDCC, Shah Alam bagi mengingatkan ahli DAP supaya tidak mengundi semula pemimpin DAP sebelum ini.

Chee Chong mendakwa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggelapkan wang sumbangan RM300,000 yang diperolehi daripada Pengarah Pilihan Raya kawasannya, Ng Chai Heng pada 2013.

Chee Chong juga meminta pihak polis mengambil tindakan ke atas individu yang mengasarinya termasuk membuat 2,000 kali ugutan ke atas beliau melalui media sosial Whatsapp dan Facebook.

“Saya minta polis ambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) Bab XXI (22) Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 509 dan kerana menggunakan perkataan yang dimaksud mengaibkan kehormatan saya di khalayak umum,” katanya. – MalaysiaGazette