Home Politik MIC Selangor harap terus wakili Parlimen Hulu Selangor

MIC Selangor harap terus wakili Parlimen Hulu Selangor

Kajendran Doraisamy

SEPANG – Atas rekod cemerlang Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk P. Kamalanathan yang menerajui kawasan itu sejak 2013, MIC Selangor menaruh keyakinan bahawa kerusi tersebut akan terus diwakili parti pimpinan Datuk Seri S. Subramaniam itu.

Menurut Ketua Pemudanya, Kajendran Doraisamy, sehingga kini masih tiada sebarang perbincangan antara Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengenai kerusi berkenaan.

Namun beliau berharap agar kerusi tersebut terus ditandingi oleh sayap BN itu bersandarkan kepada rekod cemerlang Datuk P. Kamalanathan yang merupakan Ahli Parlimen kawasan itu.

“Saya yakin Kamalanathan akan kekal bertanding di kerusi Hulu Selangor,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam siri lawatan ‘Sentuhan Kasih Pemuda MIC’ di Sungai Merab hari ini.

Kerusi itu menjadi milik P. Kamalanathan apabila memenangi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2013 dengan majoriti 3,400 undi mengalahkan calon PKR, Khalid Jaafar.

Disebabkan kemenangan itu, Kamalanathan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan I.

Sejak 1990, kerusi Hulu Selangor ditandingi MIC sebelum tewas kepada PKR pada 2008.

“Harapan kita kerusi Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi oleh MIC, kita nak kekalkan kemenangan itu. Sejak zaman Datuk Seri G. Palanivel sehinggalah ke P. Kamalanathan, kita harap kekal di kerusi tersebut.

“Kalau kita lihat perbezaan antara ahli Parlimen lain, prestasi dan mutu kerja P. Kamalanathan cukup baik. Saya rasa tidak ada masalah untuk beliau kekal sebagai calon di Hulu Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Subramaniam berkata parti itu tidak akan melepaskan kerusi Hulu Selangor yang membawa kemenangan kepada MIC.

Katanya, beliau akan memastikan calon MIC akan mengekalkan kemenangan kerusi itu untuk BN. -MalaysiaGazette.