Home Nasional Proton bertembung treler, seorang maut

Proton bertembung treler, seorang maut

Keadaan kawasan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan Felda Adela dekat Kota Tinggi, Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Proton Saga dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 21, Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran persimpangan Felda Adela dekat Kota Tinggi pada 3 petang ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah Kota Tinggi cuba memotong sebuah Toyota Hilux sebelum bertembung dengan treler membawa muatan kelapa sawit yang datang dari arah Sungai Rengit.

Ekoran kemalangan itu, mangsa, Ahmad Tajuddin Md. Ali, 39, yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, maut di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat manakala mereka yang cedera turut dirawat hospital sama.

Pegawai Operasi dari Balai dan Penyelamat Penawar, Abd. Rahim Abd. Rani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.12 petang.

“Sejurus menerima panggilan, satu jentera bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa yang beralamat di Kajang, Selangor disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Bandar Penawar yang ke lokasi kejadian. – MalaysiaGazette