Home Nasional NGO sasar RM5 juta jual nombor plat T1M

NGO sasar RM5 juta jual nombor plat T1M

Pengerusi Pertubuhan Transformasi Anak Muda Malaysia, Helmi Yusof pada Majlis Sidang Media Nombor Plat Khas T1M di Ekspressolab The Kuala Lumpur Performing Art Centre Sentul Park, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Transformasi Anak Muda Malaysia mensasarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas Transformasi 1Malaysia (T1M) sehingga RM5 juta menjelang 20 Disember depan.

Pengerusinya, Helmi Yusof berkata, orang ramai boleh membuat bidaan nombor plat itu secara rasmi pada 20 November 2017 bermula dengan nombor T1M1 hingga T1M1000 dengan melayari laman web www.platt1m.com.

“Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memberikan kelulusan kepada NGO kami menguruskan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas ini.

“T1M selaras dengan misi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak dan kerajaan yang sedang melaksanakan pelbagai usaha Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) di sini, hari ini.

Penasihat Kehormat Pertubuhan Transfomasi Anak Muda Malaysia, Tan Sri Yahya Ibrahim (dua kiri) bersama Pengerusi Pertubuhan Transfomasi Anak Muda Malaysia, Helmi Yusof (dua kanan) menunjukkan nombor plat T1M pada Majlis Sidang Media Nombor Plat Khas T1M di Ekspressolab The Kuala Lumpur Performing Art Centre Sentul Park, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 NOVEMBER 2017

Hadir sama Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Yahaya Ibrahim.

Katanya, harga bidaan bagi nombor plat T1M1 dijual pada harga permulaan RM180,000 manakala harga nombor plat paling rendah dijual pada harga RM2,500.

“Harga paling tinggi kita buka dalam bidaan ini ialah T1M1 manakala nombor biasa dengan tiga angka serendah RM2,500.

“Manakala harga bagi nombor lain seperti nombor berganda, nombor kahwin dan sebagainya akan dipapar dalam laman web kita,” jelasnya.

Helmi juga berkata majlis pelancaran penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan itu hanya akan dirasmikan oleh Perdana Menteri sendiri di Parlimen Pekan, pada 19 November ini.

Katanya lagi, hasil jualan nombor plat kenderaan itu akan disalurkan kepada NGO ini bagi melaksakan usaha transformasi anak muda dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

“Kita buat nombor plat ini sebenarnya kita nak kumpulkan dana yang memang manfaatnya terus kepada anak muda

“Mereka ini perlu dekati dan dibantu dengan nilai pembentukan jati diri dan karakter agar mereka tahu tanggungjawab dan peranan anak muda yang boleh menyumbang sesuatu kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette.