Home Nasional Ekspo Negaraku 2017: Pameran interaktif jadi tarikan

Ekspo Negaraku 2017: Pameran interaktif jadi tarikan

Pengunjung yang terdiri dari pelajar sekolah sedang menonton tayangan interaktif ketika tinjauan Malaysia Gazette pada Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR –  Pameran berbentuk interaktif antara tarikan utama Ekspo Negaraku 2017 terutama kepada golongan muda di di Dataran Merdeka sejak semalam hingga 15 Disember ini.

Walaupun penganjur masih lagi sibuk melakukan persiapan terakhir, namun rata-rata yang hadir teruja untuk melihat ekspo berkenaan dengan pameran-pameran berteknologi tinggi.

Ekspo infrastruktur terbesar itu antaranya menyajikan pameran pembangunan terkini dan akan datang yang telah dirancang kerajaan dalam memberi kehidupan sempurna dan sejahtera kepada rakyat Malaysia.

Ekspo Negaraku 2017 merupakan program yang dirancang Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan mempunyai objektif memberitahu masyarakat mengenai projek pembangunan serta fungsi EPU yang selama ini hanya berada di belakang tabir.

Reaksi ceria pelajar dari Sekolah Lelaki Jalan Batu Kuala Lumpur sedang mencuba permainan simulasi ketika tinjauan Malaysia Gazette pada Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 NOVEMBER 2017

Pameran yang sama jga mempunyai lima tarikan kubah gergasi yang setiap satunya memberi gambaran dan maklumat prasarana semasa dan bakal dibina dalam negara pada masa depan.

Menariknya, pameran itu merupakan pusat sehenti terbesar terbesar dimana pengunjung bukan sahaja boleh mendapat maklumat malah berpeluang menghargai kemudahan dibina kerajaan.

Sebahagian pelajar dari Sekolah Lelaki Jalan Batu Kuala Lumpur turut mengambil bahagian dalam aktiviti mewarna ketika tinjauan Malaysia Gazette pada Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 NOVEMBER 2017

Ia boleh didapati dengan cara menyentuh panel interaktif selain merasai tiupan angin dan air hujan ketika sesi tontonan video.

Pameran yang boleh diikuti dalam masa satu jam dibuat dalam bentuk tiga dimensi dan pe­ngunjung dapat merasai pelbagai pengalaman menakjubkan tentang kemudahan prasarana yang ada dan sedang dibangunkan di negara ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyasarkan sekurang-kurangnya  500,000 kehadiran pengunjung ke Ekspo Negaraku 2017 selama sebulan dianjurkan selain turut menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam untuk memudahkan perjalanan.

Pengunjung turut berpeluang mencuba permainan simulasi MRT ketika tinjauan Malaysia Gazette pada Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 NOVEMBER 2017

Ekspo Negaraku 2017 adalah sebahagian daripada pengisian ke arah memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.

Pameran sebulan mulai 15 November hingga 15 Disember itu percuma setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pameran yang merangkumi 60 peratus keluasan Dataran Merdeka itu turut menawarkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan futsal, zumba, pasar malam, KL Go Cart dan sukan rakyat.

Antara tarikan ekspo yang sama, pengunjung berpeluang berinteraksi dengan Perdana Menteri melalui panggilan telefon yang akan dibuat secara rawak.- MalaysiaGazette