KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyiasat pemilik syarikat Sistem Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS).
Perkara itu ditegaskan Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah apabila mendakwa terdapat ahli politik mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.
“SPRM kena siasat perkara ini sebab CTOS hanya menyusahkan peminjam.
“Tidak perlu lagi untuk diwujudkan CTOS kerana peranan terhadap peminjam boleh dimainkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Ridzuan, tindakan agensi itu yang tetap meletakkan rekod lampau usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang pernah gagal atau lewat membayar pinjaman meskipun hutang tersebut sudah dilunaskan menjadi antara faktor institusi kewangan tidak meluluskan permohonan pinjaman.
“Kalau dilihat secara rasional, sekiranya seseorang usahawan akhirnya telah membayar semua hutang tertunggak yang ditanggung sebelum ini, itu maksudnya mereka semakin berjaya dalam perniagaan.
“Atas faktor itu sepatutnya permohonan pinjaman mereka diluluskan tetapi masalahnya, rekod kegagalan lampau masih disimpan oleh CTOS dan apabila dirujuk oleh institusi kewangan, semuanya akan diambil kira sebelum diberi kelulusan, namun dalam banyak kes permohonan itu gagal,” tegasnya.
Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu mengkaji dasar agensi rujukan kredit itu yang terlalu mudah menyenaraihitam nama usahawan PKS sehingga menyukarkan mereka membuat pinjaman untuk mengembangkan perniagaan.
Katanya, peranan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Jabatan Insolvensi sudah memadai untuk menyelesaikan masalah peminjam yang gagal membayar balik pinjaman tanpa perlu dibebani lagi dengan CTOS.
Dalam pada itu Mohd Ridzuan mendakwa, data maklumat peribadi individu yang di CTOS tidak selamat kerana ia boleh diperolehi oleh sesiapa dengan hanya membayar sebanyak RM50.
Ujarnya, langkah itu sememangnya tidak selamat kerana ia dibimbangi akan terlepas kepada pihak tidak bertanggungjawab seperti ah long atau syarikat pemberi pinjaman kewangan. – MalaysiaGazette