Home Nasional Rumah SelangorKu: Eco World dicabar saman Jamal

Rumah SelangorKu: Eco World dicabar saman Jamal

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada sidang media Rumah SelangorKu Hanya Retorik Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Gerakan Gabungan NGO Malaysia, Ampang. foto SAFWAN MANSOR, 17 NOVEMBER 2017
AMPANG – Syarikat Eco World dicabar menyaman Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang mendakwa pemaju hartanah itu mengaut keuntungan di sebalik skim perumahan SelangorKu.

Jamal berkata, beliau mempunyai bukti Eco World mengaut keuntungan sedangkan rumah mampu milik SelangorKu masih gagal dibangunkan di Eco World Semenyih.

“Kenapa (kerajaan negeri) tak pastikan pemaju ikut panduan yang digariskan kerajaan negeri sebab tiada tindakan sebab apa rundingan bawah meja.

“Saya berani lawan dengan Eco World saman saya kalau saya tak betul tiada masalah kerana mereka ini penipu, berbohong,” katanya pada sidang media di pejabat Gabungan NGO Malaysia hari ini.

Sebanyak 12,862 unit rumah telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor, bakal disiapkan oleh Eco World.

Manakala 50 peratus daripada jumlah tersebut, atau 6,431 unit terdiri daripada unit mampu milik, iaitu berharga dari RM42,000 hingga RM220,000 melalui skim Rumah SelangorKu.

Jamal juga berkata, kerajaan negeri didakwa tutup sebelah mata apabila pemaju hartanah masih gagal membangunkan rumah mampu milik SelangorKu sedangkan Dewan Undangan Negeri bakal dibubarkan tidak lama lagi.

“Saya cabar Eco World siapkan rumah SelangorKu dalam tempoh empat bulan sebelum pilihan raya. Saya yakin mustahil mereka boleh tunaikan janji mereka,” katanya.

Tegasnya lagi, pemaju hartanah sepatutunya mematuhi syarat pembinaan di mana mereka perlu memastikan pembinaan rumah mampu milik seiring dengan rumah kos tinggi yang tersergam indah di Eco World Semenyih, hari ini.

“Persoalan kenapa kerajaan negeri yang membuat skim ini tetap tidak peduli rakyat, tutup sebelah mata, jadi kita minta pihak berkuasa tolong semak balik syarat pembinaan.

“Kerajaan Selangor kencing rakyat Selangor, tipu rakyat Selangor, rumah SelangorKu tiada, kalau ada pun masih dalam pembinaan lagi sedangkan sudah tujuh tahun dijanjikan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.