KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 6.2 peratus pada suku ketiga (Q3) 2017 berbanding 4.3 peratus pada suku yang sama tahun lepas, didorong oleh permintaan dalam negeri, terutama perbelanjaan sektor swasta.
Dari segi penawaran, peningkatan adalah menyeluruh, merentasi semua sektor, kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan.
Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.8 peratus pada Q2, 5.6 peratus pada Q1 dan berdasarkan prestasi yang kukuh pada Q3, bank pusat itu berkata ekonomi berada pada kedudukan yang baik untuk meningkat lebih tinggi kepada unjuran rasmi antara 5.2 – 5.7 peratus pada 2017, disokong oleh permintaan domestik.
Mengikut asas sukuan terlaras bermusim, ekonomi tumbuh 1.8 peratus (Q2 2017: 1.3 peratus), kata kenyataan itu.
Inflasi menyederhana kepada 3.8 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi pengangkutan yang lebih rendah dan dijangkakan mencatat purata pada julat unjuran 3-4 peratus pada 2017 secara keseluruhannya.
Bank pusat berkata kedudukan turun naik dalam pasaran kewangan domestik kekal rendah susulan sentimen domestik yang bertambah baik.
Kualiti aset dan keuntungan dalam institusi kewangan domestik kekal sihat, sama seperti prestasi perniagaan dan isi rumah yang terus menunjukkan kemampuan kukuh untuk membayar hutang.
Kecairan mencukupi untuk menyokong pengantaraan kewangan dan memenuhi keperluan sebenar aktiviti ekonomi, dengan peminjam yang layak terus memperoleh akses kepada pembiayaan.
Eksport akan terus meraih manfaat daripada permintaan global yang menggalakkan.
— BERNAMA