PAS atau PAN, dua-duanya sama sahaja. Mereka dari satu baka, satu keturunan dan satu aliran.
Yang menyebabkan mereka bermusuh kerana masing-masing meletakkan kepentingan peribadi mendahului kepentingan kepartian dan rakyat.
Di Kelantan misalnya, kedua-dua parti ini sibuk berebut sebuah bangunan yang dinamakan Wisma Tok Guru. PAN kata, bangunan itu hak dia, Pas pula kata, tanah atau tapak bangunan itu hak mereka.
Akhirnya kes itu dibawa ke mahkamah untuk jalan penyelesaian, dan dalam proses undang-undang itu, masing-masing menyusun perancangan. PAN membuat perkiraan bagaimana mahu mempertahankan bangunan itu, Pas pula memasang angan-angan untuk mengambilalih wisma berkenaan.
Kemuncak kepada perebutan itu berlaku pada tengah malam 16 November lalu, apabila notis yang dikeluarkan mahkamah kepada Pas dan PAN berakhir.
Pada tengah malam itu berlakulah asak-asakan kedua-dua kumpulan, yang dahulunya bagai isi dengan kuku, kini seperti anjing dengan kucing.
Kumpulan PAN membuat benteng manusia menghalang sebarang pencerobohan, kumpulan Pas pula berusaha untuk masuk ke bangunan Wisma Tok Guru.
Sebagai pemerhati, saya berasa malu dengan gelagat yang ditunjukkan mereka. Seolah-olah tidak ada benda lain yang mereka nak rebut.
Bangunan sekangkang kera itu juga menjadi perhatian sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Kawan saya yang tinggal berdekatan wisma berkenaan merungut. Katanya, pada malam itu, disebabkan dua puak tunjuk kebodohan, laluan Salor Kota Bharu ke Kampung Pendek Pasir Mas terganggu.
Katanya lagi, disebabkan ‘ketololan’ kedua-dua puak berkenaan juga, ribuan pengguna jalan raya (Salor – Kampung Pendek) terpaksa merempuh kesesakan. Mereka menyumpah seranah dan mencelakakan pertelagahan dua puak berkenaan yang menyebabkan jalan sesak.
“Macam mana permit ceramah boleh diluluskan sehingga menjejaskan kemudahan dan keselesaan awam?” soal kawan saya.
“Harus diingat, bukan semua orang gila politik dan mahu ikut digilakan oleh pemain yang semakin tidak matang serta ber’standard’ mabuk air sejuk,” ulasnya lagi dalam nada marah.
Saya dapat rasakan perasaan marah kawan saya itu. Memanglah, tidak ada siapa pun yang waras mahu kehidupan mereka diganggu atau terganggu dengan hanya disebabkan perbuatan tidak masuk akal yang berlaku antara Pas dengan PAN itu.
Mereka hanya berebut sebuah bangunan kecil, sedangkan banyak lagi bangunan baharu dan jauh lebih selesa terbiar di sekitar Kota Bharu-bandaraya Islam yang boleh digunakan untuk solat hajat mahupun dijadikan pusat khidmat parti.
Bangunan Pelangi Mall di pinggir Sungai Kelantan di tengah pusat bandar raya Kota Bharu yang dibina dengan kos berpuluh juta itu misalnya, terbiar begitu sahaja tidak digunakan. Kenapa Pas tidak mahu menjadikannya sebagai pusat operasi parti?
Kalau nak adakan solat hajat sebagaimana Pas mendakwa mereka hanya mahu mengadakan solat hajat di Wisma Tok Guru itu, di Pelanggi Mall boleh memuatkan ribuan jemaah tanpa perlu bersesak-sesak di pekarangan Wisma Tok Guru yang hanya boleh memuatkan kira-kira 100 orang sahaja.
Memang patutlah kawan saya yang tengah marah itu kata, kedua-dua puak berkenaan ‘babuk’. “Guna kepala lutut, bukan kepala berotak,” tegasnya.
Mengikut kronologi Wisma Tok Guru, bangunan yang dijadikan pejabat Pas DUN Salor itu asalnya dibina pada zaman Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Iberahim yang ketika itu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor.
Sebelumnya, Allahyarham adalah pemimpin UMNO. Bila UMNO tahun 1988, Allahyarham menyertai parti baharu Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan tidak lama selepas itu menyertai Pas bila S46 dibubarkan.
Ketika itulah Allahyarham membina sedikit demi sedikit pejabat Pas di tanah miliknya. Pejabat itu kemudian disiapkan sepenuhnya oleh Datuk Husam Musa selepas bertanding kerusi DUN Salor dan menang.
Husam menjadikan pejabat yang dinamakan Wisma Tok Guru itu sebagai pejabat operasi Pas Kubang Kerian.
Bagaimanapun, konflik kepada krisis bangunan itu bermula apabila isteri kepada Allahyarham Rosli membuat keputusan menjual tanah suaminya yang menempatkan Wisma Tok Guru itu kepada Setiausaha Kerja Pas Kelantan, Mohamad Yasin Yusof.
Oleh kerana Husam pada masa itu masih dalam Pas, Mohamad Yasin yang membeli tanah itu pada harga RM700,000 membenarkan wisma berkenaan beroperasi atas tanah miliknya.
Namun, Husam tidak lama dalam Pas. Dia keluar sertai PAN. Serentak itu juga Husam menukar Wisma Tok Guru dari pejabat Pas kepada pejabat PAN. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati Mohamad Yasin yang masih setia dengan Pas.
Di situlah tuntutan bermula. Dikatakan, Mohamad Yasin berbincang cara baik dengan Husam minta lepaskan pejabat itu kepadanya kerana tanah itu miliknya secara mutlak.
Bagaimanapun, Husam tidak setuju. Beliau berkeras dan bertegas mendakwa bangunan itu miliknya dan kos membinanya sehingga menjadi sebuah pejabat yang lengkap dan siap sepenuhnya adalah hasil titik peluhnya.
Mohamad Yasin dan Pas Kelantan pula mendakwa bangunan itu sudah wujud sebelum Husam sebagai ADUN Pas Salor lagi dan dibina hasil derma serta sumbangan orang ramai sebagai markas Pas.
Ketika Allahyarham Rosdi masih ada, Allahyarham hanya membenarkan Husam menggunakan bangunan itu sahaja, bukan menyuruhnya membuat bangunan itu milik peribadi.
“Arwah Datuk Rosli benarkan Husam guna bangunan. Tak dengar pulak arwah kata bangunan yang Husam namakan Wisma Tok Guru itu boleh dijadikan miliknya,” kata seorang sumber.
Sekarang ini, Husam mendakwa bangunan itu kepunyaan dia. Itu yang dikatakan pelik bin ajaib. Pelik kerana dia boleh mengaku bangunan yang dibina atas tanah orang lain itu adalah hak dia.
Dalam apa keadaan sekali pun, Husam kena faham, pemilik tanah mempunyai kuasa mutlak ke atas segala aset yang ada di atas tanahnya. Pemilik tanah boleh sama ada mengenakan sewaan atau guna sendiri atau beri sewa kepada pihak lain yang tidak ada kena mengena dengan parti politik.
Sekarang, Husam kena kosongkan Wisma Tok Guru. Dia kena akur dan terimanya sebagai takdir.
Tambahan pula, baharu semalam Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi Husam bagi menghalang Pas menggunakan Wisma Tok Guru.
Maknanya, Husam telah kalah dan bangunan itu secara automatik milik Pas Kelantan, selama mana diizinkan Mohamad Yasin.
Kalau ditakdirkan Mohamad Yasin menyertai PAN, baharulah Wisma Tok Guru boleh menjadi pejabat operasi PAN. – MalaysiaGazette