Baginda menerima pengiktirafan itu yang disampaikan Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim pada istiadat pembukaan Majlis Konvokesyen ke-12 universiti itu di kampus Gambang di sini, hari ini.
Pada ucapannya, Tengku Abdullah bertitah pengiktirafan itu perlu dikongsi khususnya dengan ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah dan bonda Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Muhammad yang mangkat pada 1988, kerabat diraja dan seluruh rakyat Pahang.
“Ingatan saya terimbau kepada ikrar yang dilafaz dan janji yang disembahkan 42 tahun lalu di hadapan ayahanda dan bonda ketika saya dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang semasa berusia 15 atau 16 tahun.
“Pada usia semuda itu, saya telah diberikan amanah besar oleh ayahanda sebagai waris ganti dengan pelbagai tanggungjawab terhadap rakyat jelata yang sentiasa dekat di hati saya dan kewajipan kepada Pahang yang saya cintai,” titah baginda.
Tengku Abdullah menambah sejak dimasyhurkan hingga hari ini, baginda belajar untuk memimpin berdasarkan pengetahuan dan pengalaman menerusi pembacaan, pergaulan dengan mereka yang arif dan bijaksana serta melalui pengalaman bagi mematangkan pemikiran, pertimbangan dan tindakan.
“Terima kasih kepada semua yang membantu dan berkat doa serta sokongan semua, saya komited untuk terus berkhidmat demi kepentingan negeri dan negara dengan nilai kepimpinan melalui teladan yang disulami dengan kemuliaan peribadi, keteguhan prinsip dan ketinggian integriti,” titah baginda.
Mengambil perjalanan peribadi itu, Tengku Abdullah yang juga Canselor UMP sejak 11 tahun lalu menasihatkan graduan universiti yang diraikan pada majlis itu, untuk terus istiqamah menghayati nilai murni dalam kehidupan peribadi dan tanggungjawab perofesional di tempat kerja.
Baginda menambah peribadi itu, perlu ditanamkan dalam diri kerana mereka berpeluang mengisi jawatan dalam sektor awam atau profesional, sekali gus memikul pelbagai tanggungjawab dan mempunyai kuasa dalam membuat keputusan.
“Hal ini menuntut akauntabiliti yang tinggi daripada anda sebagai golongan eksekutif dan profesional yang beretika serta berintegriti. Jika nilai murni tidak dihayati sepenuh jiwa, anda berisiko tinggi terlibat dengan penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan jenayah kolar putih yang lain,” titahnya.
Tengku Abdullah menambah perkara itu jika berlaku, akan merosakkan nama graduan selaku orang terpelajar, menjadikan usaha dan jasa keluarga sebagai sia-sia serta mencemarkan nama UMP selaku ‘alma mater’ mereka.
Baginda seterusnya menyarankan kepimpinan UMP meneruskan agenda Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang disifatkannya sebagai bukan hanya memfokuskan kecemerlangan universiti, tetapi juga melibatkan rakyat menerusi agenda memasyarakatkan teknologi dan universiti komuniti.
“Saya faham inisiatif sosial ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan berkesan tanpa sokongan dana, justeru saya menyeru semua agensi awam, swasta, pertubuhan sukarelawan dan dermawan untuk mengimarahkan ekosistem dan wakaf pendidikan UMP menerusi instrumen MyGift.
“Sumbangan ikhlas kepada dana MyGift akan disalurkan bagi projek yang bertujuan mengembalikan nilai sumbangan itu kepada kumpulan sasaran yang dikenal pasti sama ada daripada kalangan warga mahasiswa atau masyarakat yang memerlukan pembelaan,” titah baginda.- BERNAMA