KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan rasa prihatin terhadap bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai menjalani pembedahan semalam dan berdoa agar cepat sembuh seperti sedia kala.
Isteri Perdana Menteri itu berkata sebagai saudara sesama Islam kita perlu berniat baik dan mengharapkan orang ramai dapat mendoakan kesihatan Anwar kembali baik seperti biasa.
“Jadi, kita doakan lah supaya kesihatan Datuk Seri Anwar akan dipulihkan seperti sedia kala.
“Kita berniat baik, betul tak, sebagai orang Islam kita berniat baik… kita doakan agar kesihatan beliau akan baik sebab saya baru jumpa dia semalam,” kata beliau semasa menghadiri Majlis Tahunan Bersama Penaung Skuad Sayang Kebangsaan 2017 di PWTC hari ini.
Kenyataan Rosmah tersebut kemudiaan diaminkan oleh wanita-wanita UMNO yang hadir dalam majlis tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Rosmah semalam melawat Anwar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas selesai menjalani pembedahan bahunya.
Gambar lawatan itu juga menjadi tular dalam media sosial.
Pada 22 Sept lalu, Anwar yang mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatannya di HKL, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari hospital berkenaan ke Penjara Sungai Buloh.
Anwar dilaporkan menjalani pembedahan artroskopi susulan kecederaan di bahu kanannya, Ahad lepas. – MalaysiaGazette