KUALA LUMPUR – Menjengah semula momen ke belakang, penyanyi Imran Ajmain dan Najwa Mahiaddin dipertemukan buat kali pertama sekitar 11 tahun lalu.
Dengan secara kebetulan, mereka bertentang mata saat masing-masing terlibat dalam komitmen persembahan pentas ketika itu.
Bagai terukir indah takdir mereka, Najwa yang turut mengetahui kewujudan lagu siulan ramai, Seribu Tahun nyanyian oleh Imran, menerima permintaan istimewa daripada pengurus kepada penyanyi tinggi lampai itu bagi melagukan karya tersebut secara duet di depan audiens pada waktu itu.
Sejak itu, mereka saling berkenalan sebagai rakan seperjuangan industri seni sekali gus mula akrab sehingga merencana bagi menghasilkan kolaborasi dalam single duet.
Tahun demi tahun bergulir deras. Begitupun, hasrat murni itu masih belum tertunai lantaran kesibukan jadual kerjaya yang menghalang.
“Selepas pertemuan pertama di Layar Tanchap, Shah alam, saya berada di Amsterdam. Kemudian, kembali semula ke Kuala Lumpur. Najwa pula sudah menamatkan pengajian di Amerika Syarikat (AS).
“Waktu berlalu begitu sahaja. Sehingga sekitar setahun setengah lepas, akhirnya kami berhasil merealisasikan impian tersebut dengan penghasilan sebuah naskhah berjudul, Sentiasa Merinding.
“Menariknya, proses menghasilkan lagu ini tidak pula mengambil masa panjang berbanding penantian kami selama ini. Kami rekod pada awal tahun ini bersama Faiz Rosli di studio yang berlainan dengan durasi satu hingga dua jam sahaja.
“Cuma pembetulan dan proses hendak membersihkan vokal berjalan selama dua minggu,” kata Imran ketika ditemui majlis pelancaran single duet bersama Najwa di SukaSucre Hall Event di Wisma RYU, Taman Pertama, Cheras di sini baru-baru ini.
Sentiasa Merinding yang mengangkat genre R&B Pop dengan dibuai alunan Melayu klasik itu merupakan sebuah karya total kerjasama di antara Imran yang mewakili SukaSucre Creatives dan Najwa (Nada Biru Muzik Sdn. Bhd.).
Melodi dan lirik single itu merupakan kolaborasi Najwa, Imran dan seorang lagi rakan, Az Avex Azman atau mesra disapa Avex.
“Permulaan projek single ini berjalan dengan cara tersendiri. Saya menganggap bahawa ia sebagai pertemuan tiga benua. Waktu itu, saya di New York, Imran (KL) dan Avex (Australia).
“Lantaran itu, kami sekadar menggunakan jaringan internet menerusi aplikasi Skype dan emel bagi berbincang mengenai rangka melodi sekali gus sesi menulis lirik,” ungkap Najwa sambil mengimbas kembali saat pencantuman keseluruhan karya tersebut.
Selain tercipta alunan mendamaikan Sentiasa Merinding buat halwa telinga peminat, single ini juga memunculkan sebuah video muzik yang menampilkan tema hitam putih arahan Zul Luey dari Luey Motion Lab menjalani penggambaran di sebuah studio pada penghujung Mac lalu.
Sebelum kedua anak seni berambisi besar itu menoktah bicara, tiada lain mereka meletakkan ekspektasi tinggi melangit agar Sentiasa Merinding mampu diterima dengan lapang dada oleh pendengar.
“Saya berharap agar peminat yang mula mengikuti saya sejak lagu Seribu Tahun akan mendengar dan menghargai Sentiasa Merinding sekali gus menjadi batu loncatan buat saya agar terus menghasilkan karya lebih berkualiti selepas ini.” akhiri Imran sambil menganggap kerjasama dengan Najwa diibarat impian menjadi kenyataan.
Pada waktu sama, besar harapan Najwa agar selain lagu Got To Go, peminat terus mengikuti perjalanan dan evolusi seni muzik yang dipersembahkan oleh empunya diri terutama dengan penghasilan single duet bersama Imran ini.
Sementara itu, merinding membawa definisi meremang. Mudah digambarkan bahawa dalam sebarang hubungan baik dengan teman lelaki, suami, ibu dan bapa, kita selalu memupuk elemen keterujaan tersebut dalam berkasih-sayang. – MalaysiaGazette