Home Ekonomi Alibaba beli 36 peratus pegangan Sun Art Retail

Alibaba beli 36 peratus pegangan Sun Art Retail

HONG KONG – Alibaba Group Holding Ltd. (Alibaba) akan membeli 36.16 peratus pegangan langsung dan tidak langsung pengendali pasar raya utama China, Sun Art Retail Group Ltd. pada harga AS$2.9 bilion.

Sebagai sebahagian daripada pakatan strategik dengan Auchan Retails S.A dan Ruentex Group, Alibaba akan membeli pegangan daripada Ruentex manakala Auchan Retail akan menambah pegangannya dalam Sun Art, demikian menurut ketiga-tiga syarikat dalam satu kenyataan.

Pakatan tersebut mensasarkan peluang dalam sektor peruncitan makanan China yang bernilai AS$500 bilion di mana pengendali dalam talian dan bukan dalam talian akan mendapat manfaat daripada pengumpulan data pelanggan serta meningkat daya saing mereka.

Alibaba menggelarkannya sebagai strategi “Peruncitan Baharu.”

“Kedai fizikal menyediakan peranan yang tidak boleh dinafikan dalam kehidupan seorang pelanggan tetapi ia perlu dipertingkatkan menerusi data yang dipacu teknologi serta perkhidmatan ekonomi digital,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba, Daniel Zhang dalam satu kenyataan.

Urusniaga itu akan membolehkan Groupe Auchan SA dari Perancis, Alibaba dan konglomerat Taiwan, Ruentex masing-masing memegang 36.18 peratus, 36.16 peratus dan 4.67 peratus saham.

Alibaba akan menggantikan Ruentex sebagai pemegang saham kedua terbesar. – MalaysiaGazette