PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Dalam Negeri di sini bagi membincangkan status pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti politik yang sah.
Kereta Audi berwarna hitam yang membawa Pengerusi Pakatan Harapan itu tiba di kementerian tersebut pada pukul 10.47 pagi dengan bekas Perdana Menteri melambai kepada pengamal media yang menunggu sejak pukul 10 pagi lagi.
Turut kelihatan memasuki kementerian itu ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Difahamkan Mahathir juga akan berjumpa dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim bagi mengutarakan isu kelewatan pendaftaran logo Pakatan Harapan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) serta isu Armada PPBM yang tidak terkandung dalam perlembagaan parti itu.
Pada 28 Julai lalu, Tun M bersama Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah kemukakan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan selepas menerima teguran pendaftar pertubuhan itu di Jalan Diplomatik, Putrajaya.- MalaysiaGazette