KUALA LUMPUR – Tan Sri Pandikar Amin Mulia kini mencabar Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk berdebat secara terbuka.
Ia berlaku selepas Presiden Parti Warisan itu menghinanya dengan kata ‘bodoh’ kerana tidak memahami tafsiran sejarah penubuhan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Speaker Dewan Rakyat itu terkejut dengan kritikan Mohd. Shafie yang keras itu dan mencabarnya berdebat berhubung isu itu bagi melihat siapa sebenarnya yang ‘bodoh’.
“Kali ini saya mencabar Presiden Parti Warisan itu berbahas dengan saya secara terbuka tentang tafsiran sejarah penubuhan Malaysia dan MA63, supaya rakyat Sabah dapat menilai siapa sebenarnya yang bodoh,” kata Pandikar dipetik dalam portal BNBBC portal hari ini.
Jelas Pandikar, penjelasan berhubung isu perjanjian tersebut sudah dibuat dan tidak perlu untuk beliau mengulangi sekali lagi pendirian berhubung isu tersebut.
“Hampir tersembur keluar kopi dari mulut saya apabila terbaca kenyataan Mohd. Shafie mengenai perkara tersebut.
“Dalam hal ini, saya tidak perlu mengulangi balik pendirian saya berhubung dengan sejarah penubuhan Malaysia dan MA63,” katanya.
Dalam pada itu, Pandikar mendakwa Mohd. Shafie pula tidak faham konsep federalisme apabila mengatakan rakyat Sabah tidak boleh mengatakan mereka adalah sama seperti negeri-negeri seperti Perlis.
“Sebelum buat kenyataan sedemikian Datuk (Mohd.) Shafie perlu memahami sistem federalisma. Adakah kenyataan itu satu penghinaan kepada seluruh rakyat Perlis?” soal beliau.
Pandikar sebelum ini membuat kenyataan bahawa Sabah sama taraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia, dengan menyebut Bab 2 Kalusa 10 Laporan IGC yang dilampirkan dalam Artikel 8 Perjanjian Malaysia 1963 yang menyatakan bahawa bekas tanah jajahan British Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak sama dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung.
Bagaimanapun, Shafie dalam ceramah di Keningau kellmarin mendakwa individu yang mengatakan Sabah adalah sama dengan mana-mana negara lain adalah ‘bodoh’. – MalaysiaGazette