Home Ekonomi Industri francais tempatan sumbang RM26.6b 2016

Industri francais tempatan sumbang RM26.6b 2016

Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR –  Industri francais tempatan menyumbang sebanyak RM26.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu berbanding RM26.8 bilion pada 2015, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sejak kementerian itu memperkenalkan program Dana Bantuan Pembangunan Francais (DBPF) pada 2005 hingga kini, sejumlah 85 syarikat francais tempatan berjaya dibantu dengan bantuan dana sebanyak RM5.65 juta.

“Prestasi franscais tempatan berada pada paras yang memberangsangkan. Program DBPF diperkenal bagi membantu syarikat yang mempunyai perniagaan atau jenama yang telah mendaftarkan perniagaan mereka sebagai perniagaan francais, serta berdaftar sebagai francaisor atau francaisi induk.

Syarikat berkenaan layak memohon geran pembangunan dalam bentuk bayaran balik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang).

Hamzah berkata, sehingga kini, sejumlah 65 francais Malaysia berjaya bertapak di 66 buah negara dengan 4,271 cawangan.

Katanya, program pengembangan francais yang dilaksanakan di luar negara tahun lalu juga berjaya mencatatkan pelaburan sebenar sebanyak US$2.83 juta (RM11.73 juta) di empat negara iaitu Indonesia, Filipina, Australia dan China.

Misi promosi yang sama di Kemboja, Vietnam, Thailand dan Indonesia tahun ini juga berjaya mencatatkan pelaburan sebanyak AS$900,000 (RM3.73 juta).

Katanya, dari segi pendaftaran syarikat francais, sektor makanan minuman menyumbang sebanyak 39 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat francais yang berdaftar, pakaian dan aksesori (11 peratus), perkhidmatan dan penyelenggaraan (11 peratus), pusat pembelajaran dan asuhan (11 peratus), rawatan kecantikan dan kesihatan (10 peratus), IT telekomunikasi dan elektronik (empat peratus), kedai serbaneka dan pasar raya (dua peratus) dan lain-lain perniagaan (12 peratus). – MalaysiaGazette