SUNGAI SIPUT – Kerusi Sungai Siput di Perak terus hangat dengan masing-masing calon Barisan Nasional (BN) dan juga dari pembangkang mengintai bagi mendapat tiket untuk bertanding.
Kerusi yang pernah terkenal dengan bekas Menteri Kerja Raya, Tun S. Samy Vellu sehingga mendapat gelaran “Singa Sungai Siput” itu kini memperlihatkan perebutan antara calon yang berlatar belakang PKR, DAP, Gerakan, MIC dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Nanyang Siang Pau melaporkan, kerusi yang secara tradisinya ditandingkan calon keturunan India tetapi mempunyai 40 peratus pengundi Cina itu mungkin buat julung kalinya akan menampakkan muka Cina sebagai calon.
Keadaan itu berlaku apabila DAP Perak yang tidak puas hati dengan PSM yang dikatakan bertindak keterlaluan dengan mengumumkan untuk bertanding di dua kerusi Parlimen dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) milik DAP tanpa perbincangan dengan Pakatan Harapan.
Walaupun Ahli Parlimen sedia ada, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj ialah ahli PSM tetapi beliau telah bertanding di bawah panji PKR, kecelaruan dalam kalangan parti pembangkang juga menyebabkan PKR mahu meletakkan calon sendiri di Sungai Siput. Antara yang dicalonkan PKR Sungai siput ialah seorang jurulatih taekwando.
Walau bagaimanapun, DAP yang memenangi kerusi DUN Jalong di bawah Sungai Siput telah menyatakan hasrat meletak calon jika PSM terus berdegil mahu menceroboh kawasannya.
Menyedari bahawa kerusi Sungai Siput bukannya tempat yang mudah ditawan, DAP buat permulaan mempertimbangkan untuk memindahkan ADUN Sungkai, Sivanesan Achalingam atau Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong ke Sungai Siput.
Dalam pada itu, perang pelbagai penjuru sukar dielakkan apabila bekas ahli Gerakan S. Kalimuthu telah mengumumkan akan bertanding di Sungai Sinput.
Di dalam MIC pula, empat calon termasuk seorang anak tempatan dikatakan berkemungkinan diletakkan di Sungai Siput.
Tiga calon dari MIC pusat termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K. Devamany; Setiausaha Agung MIC, Datuk Sakthivel Alagappan dan Bendahari MIC yang juga anak Samy Vellu, Datuk Seri Vell Paari.