Home Politik Masih tidak terlewat kembali kepada BN – Shahrizat

Masih tidak terlewat kembali kepada BN – Shahrizat

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

KUALA LUMPUR – Mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini hampir hilang kepercayaan selepas tewas dalam dua pilihan raya umum lalu disaran agar kembali kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Demikian kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sambil menegaskan masih tidak terlambat lagi untuk kembali kepada pangkuan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Seelok-eloknya saya nak minta kepada semua pihak untuk kembali menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib dan BN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini bahawa mana-mana pihak yang enggan bersama parti itu ketika susah tidak berpeluang bersama UMNO apabila menang pada PRU14.

Hishammuddin berkata, rakyat mengharapkan UMNO dan bukannya individu-individu dalam parti itu yang mengamalkan politik sabotaj atau ‘cah keting’ secara dalaman untuk mentadbir negara.

Shahrizat juga menyambut baik saranan Hishammuddin agar semua ahli dan jentera parti itu sentiasa mengutamakan Winning Mentality dalam perjuangan mereka bagi menghadapi PRU14 akan datang.

“Bila kita nak menghadapi pilihan raya, kita mesti ada ‘Winning Mentality’ kerana kita mempunyai sejarah dan bukti sumbangan kepada pembangunan negara yang amat baik.

“Kita berdiri di atas bumi yang nyata, kita boleh bercerita kepada rakyat bagaimana kerajaan yang ada pada hari ini telahpun menjaga rakyat, menyediakan pembangunan dan perancangan yang terbaik.

“Insya-Allah saya percaya bila PRU14 diumumkan, saya berdoa dan yakin bahawa rakyat akan memberi undi dan sokongan mereka kepada BN,” katanya. – MalaysiaGazette