KUALA LUMPUR – Pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) di semua peringkat perlu melupakan sementara perbalahan dalaman parti sesama sendiri jika mahu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, semua pihak juga perlu mengetepikan perebutan jawatan dalam pertandingan parti itu dan memberi tumpuan untuk menang dalam pilihan raya.
“Kalau kita nak menang, kita kena elakkan diri bersengketa sesama sendiri. Kalau kita nak menang kita kena sasar musuh habis-habisan dan kita perangi segala pembohongan yang mereka bawa.
“Kita lupakan sengketa pertandingan dalam parti tetapi kita wujudkan kemenangan dalam pilihan raya ini tanpa mengira parti (komponen BN),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, baru-baru ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyarankan pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi memberi fokus kepada ‘Winning Mentality’ bagi menghadapi PRU14 akan datang.
Hishammuddin berkata, rakyat mengharapkan UMNO dan bukannya individu-individu dalam parti itu yang mengamalkan politik sabotaj atau ‘cah keting’ secara dalaman untuk mentadbir negara.
Ketika diminta mengulas tentang tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat pusingan U hingga ‘memeningkan’ kepimpinan tertinggi UMNO, Shahidan berkata, langkah itu hanya memusnahkan diri negarawan itu sendiri.
“Pusingan U ini biasanya dibuat bukan melihat kiri dan kanan tapi dibuat secara mengejut. Cara mengejut ini akan mengakibatkan kemusnahan bukan sahaja diri tapi juga kepada orang lain.
“Elakkan membuat pusingan U kerana ia akan menyebabkan keburukan daripada kebaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette