KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau tidak gentar dengan tindakan saman berjumlah RM14 bilion oleh Puncak Niaga Holding Bhd ke atas dirinya dan beberapa pihak lain.
Memetik laporan MalaysiaKini, Khalid bersedia untuk menghadapi saman berkenaan kerana proses pengambilalihan itu berlaku semasa beliau memegang jawatan menteri besar.
“Tidak, saya tidak (takut). Itu hak dia untuk saman, tapi saya jalankan tugas untuk kebaikan rakyat Selangor. Jadi maknanya dia nak harga lebih sajalah,” katanya.
Puncak Niaga hari ini mengemukakan saman menuntut ganti rugi, faedah ganti rugi dan perbezaan kos antara penilaian PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion dan pertimbangan pembelian sebenar pada RM1.55 bilion di bawah perjanjian pembelian saham bertarikh 11 November 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Saman itu dikemukakan kepada Khalid, Menteri Besar Selangor sedia ada, Datuk Seri Azmin Ali dan kerajaan negeri.
Puncak Niaga mendakwa dalam proses pengambilalihan itu, Azmin selaku Menteri Besar kini dan Khalid sebagai bekas menteri besar telah menyalahgunakan kuasa mereka, dengan memaksa kerajaan pusat menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air.
Syarikat konsesi air itu juga menerusi kenyataan dalam Bursa Malaysia semalam mendakwa kerajaan negeri ‘bertanggungjawab di atas tindakan Khalid dan Azmin’.
Pengurusan kes itu telah ditetapkan pada 28 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Di bawah penstrukturan semula air Selangor, kerajaan negeri mengambil alih aset air yang dimiliki oleh Puncak Niaga, SYABAS dan Konsortium Abass bernilai lebih RM6 bilion.
Pelupusan syarikat PNSB dan SYABAS selesai pada 15 Okt 2015 pada harga RM1.55 bilion. – MalaysiaGazette.