WASHINGTON – Amerika Syarikat menuduh pasukan keselamatan Myanmar telah melakukan “kekejaman yang mengerikan” yang menjurus kepada pembersihan etnik terhadap masyarakat Rohingya.
Kenyataan itu dibuat oleh Setiausaha Negara, Rex Tillerson, yang melawat Myanmar minggu lalu.
Beliau mengutuk tindakan ganas itu yang telah mencetuskan krisis pelarian dan kemarahan global.
“Selepas analisis dibuat secara berhati-hati dan teliti mengenai fakta-fakta yang ada, jelaslah bahawa keadaan di utara Rakhine utara merupakan pembersihan etnik terhadap Rohingya.
“Tiada provokasi boleh menjelaskan tentang kekejaman dahsyat yang telah berlaku,” kata Tillerson dalam satu kenyataan.
Kekejaman itu menyebabkan kira-kira 600,000 komuniti Rohingya menyelamatkan diri ke Bangladesh sejak tentera Myanmar melakukan operasi besar-besaran pada Ogos lalu.
Walaupun tentera menegaskan ia hanya mensasarkan pemberontak Rohingya, pelarian yang berkumpul di kem-kem Bangladeshi telah mendedahkan cerita yang konsisten terhadap pembunuhan dan rogol di tangan pasukan keselamatan.
“Kekejaman yang dilakukan oleh tentera pasukan keselamatan, dan pengawal tempatan Myanmar telah menyebabkan penderitaan yang besar dan memaksa beratus-ratus ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak melarikan diri,” kata Tillerson.
Sehubungan itu, beliau berkata, maklum balas Myanmar terhadap krisis ini adalah penting untuk peralihan menjadi masyarakat yang lebih demokratik. – MalaysiaGazette