PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilantik sebagai agensi peneraju bagi penyelarasan aktiviti pengawasan udara di kawasan maritim negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya pelantikan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Penyelarasan Penggunaan Aset-Aset Udara Milik Agensi Kerajaan yang beliau pengerusikan di Parlimen, Kuala Lumpur semalam.
“Pelantikan APMM adalah berdasarkan tanggungjawab agensi ini dalam menjaga kesejahteraan serta keamanan Zon Maritim Malaysia sepertimana yang termaktub dalam Akta APMM 2004 (AKTA 633),” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini mengenai mesyuarat HLC itu.
Beliau berkata pesawat APMM juga didaftarkan di bawah regulasi ‘Directorate General Technical Airworthiness’ (DGTA) yang membolehkan setiap pesawatnya terbang bebas mengikut ketinggian yang diperlukan dengan memiliki konfigurasi dan spesifikasi keperluan operasi terutamanya untuk mencari dan menyelamat (SAR).
Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan sentiasa memastikan kedaulatan dan keselamatan maritim dan ruang udara negara sentiasa dilindungi dan terus terpelihara.
Oleh yang demikian, katanya keberkesanan aktiviti pengawasan ruang udara di kawasan perairan negara harus terus dipertingkatkan melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang kekuatan aset agensi kerajaan sedia ada dapat dikolaborasi secara kolektif termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSZone) dan kawasan tertentu di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan berharap agar penyelarasan penggunaan aset-aset udara yang dilaksanakan melalui platform mesyuarat HLC itu dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan serta tahap kesiapsiagaan aset-aset udara dalam operasi kawalan keselamatan perairan dan ruang udara negara.- BERNAMA