MELAKA – Kekuatan isteri wakil rakyat dan bekas wakil rakyat adalah pada peranan mereka sentiasa memberi sokongan kepada suami, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, katanya, interaksi yang wujud antara anggota badan-badan amal isteri wakil rakyat seluruh negara memperkuatkan peranan sokongan mereka terhadap suami mereka, sebagai pemimpin masyarakat dan negara. “Hakikat setiap kali pilihan raya, hampir pasti sekurang-kurangnya 30 peratus muka (wakil rakyat) baharu. Walaupun suami tidak lagi menjadi wakil rakyat, undang-undang tubuh badan amal ini masih mengizinkan untuk isteri menjadi ahli.
“Saya harapkan mereka (isteri yang suami tidak lagi wakil rakyat) terus datang ke majlis dan temasya (badan amal ini)…meneruskan interaksi yang wujud dalam kalangan mereka bukan sahaja untuk memberikan kekuatan kepada mereka), tetapi lebih penting sebagai pemangkin kepada kekuatan sokongan terhadap suami masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia 2017 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini. Turut hadir Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri Perdana Menteri.
Ahmad Zahid berkata sejak Rosmah menerajui Bakti, banyak perubahan yang dilakukan beliau dan pelbagai aktiviti dianjurkan yang memperlihatkan kekuatan serta semangat isteri perdana menteri.
“Mengendalikan majlis atau temasya seperti ini tentu ada tulang belakang yang jadi tunggak kepada kejayaan sesuatu temasya atau organisasi… dari jauh dan dekat saya meneliti aktiviti dilakukan,” katanya.
Beliau berkata selain tulang belakang atau pemimpin yang hebat, sesuatu organisasi itu perlu mempunyai struktur yang tersusun bagi memastikan ia mampu mencapai kejayaan dalam setiap yang dilakukan.
Mengulas program Bakti itu, timbalan perdana menteri berkata dalam temasya sukan seperti itu apa yang penting adalah bukan soal kemenangan, sebaliknya semangat kesukanan yang ada pada diri setiap peserta.
“Mudah-mudahan temasya seperti ini terus diberi nafas dan kesinambungan dan mudah-mudahan Melaka terlakar sebagai antara negeri tersohor dalam pengendalian temasya tahunan ini,” katanya.
Seramai 580 peserta dari 14 negeri termasuk anggota Bakti mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama lima hari dan dijadual berakhir pada Ahad (26 Nov).- BERNAMA