Home Utama Pemaju dipersalahkan atas lebihan bekalan

Pemaju dipersalahkan atas lebihan bekalan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemaju-pemaju perumahan bertanggungjawab terhadap lebihan bekalan dalam pasaran hartanah yang dihadapi negara ketika ini.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Penilai, Pengurus Hartanah, Ejen Hartanah dan Perunding dalam Sektor Swasta Malaysia (PEPS) berkata, kekurangan kajian pasaran dan kaji kebolehlaksanaan kewangan sebelum sesuatu pembinaan dijalankan serta tiada pelan kordinasi di antara pihak berkuasa tempatan dengan pemaju dan kelulusan projek tanpa had menyebabkan situasi itu berlaku.

“Antara sebab lain termasuklah kelewatan mengazetkan perancangan tempatan yang menyebabkan pembangunan tidak terkawal dan kos yang lebih tinggi serta permintaan palsu daripada orang ramai yang bimbang sekiranya mereka tidak memiliki hartanah tersebut,” katanya.

Menurut PEPS, terdapat kira-kira RM35 bilion bangunan yang tidak terjual dan tidak digunakan ketika ini merangkumi pembangunan kediaman, pejabat dan pusat membeli-belah.

“Terdapat 13 bilion kaki persegi bangunan pejabat pada 2018 dan 2019 dan 44 juta kaki persegi lagi bekalan daripada Greater Kuala Lumpur sahaja daripada 2017.

“Semua usaha perlu dilakukan untuk mengekang lebihan bekalan ini sebelum pembekuan boleh dibatalkan.

“Industri hartanah mempunyai kaitan dengan lebih 120 industri dan secara terkumpul mewakili 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Dengan itu, sebarang ketidakseimbangan pasaran hartanah dan lebihan pembinaan akan menjejaskan kestabilan sistem kewangan,” katanya lagi.

PEPS menyokong langkah kerajaan untuk membekukan kelulusan projek hartanah mewah bermula 1 November lalu sambil mengatakan ia adalah tamparan kepada pemaju supaya tidak membina lebihan bekalan dan pembeli pula akan menjadi lebih selektif di dalam memilih hartanah mereka. – MalaysiaGazette