KUALA LUMPUR – Pengundi Cameron Highlands sudah membuat keputusan awal siapa calon Barisan Nasional (BN) pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Itu dakwa Presiden myPPP, Tan Sri M.Kayveas sambil menaruh keyakinan akan mendapat undi majoriti besar sekiranya beliau menjadi calon.
“Hasil kerja jentera myPPP di kawasan itu sejak tiga tahun lepas mendapati sambutan masyarakat Cameron Highlands sangat baik kepada BN.
“Berbanding keputusan majoriti undi yang diperolehi BN pada PRU-13, lalu, kali ini saya dapat mengesahkan BN akan kembali menang bergaya dengan majoriti undi yang besar.
“Pengundi di Cameron Highlands sudah bersiap sedia dalam minda mereka secara jelas siapa harus mereka undi apabila PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) umumkan calonnya nanti berdasarkan kelayakan boleh menang.
“Masyarakat di Cameron sudah melihat kesungguhan dan komitmen pemimpin yang sentiasa turun padang dan mendengar serta menangani masalah mereka khususnya myPPP di sana,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kayveas berkata demikian sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Ibu Pejabat myPPP, Kampung Attap di sini.
Ditanya mengenai jumlah kerusi yang diharapkan parti itu, Penasihat khas Kementerian Pengangkutan itu menjelaskan, myPPP hanya menyasarkan supaya BN dapat menang majoriti kali ini.
“Namun kalau BN dapat menyediakan kerusi boleh menang termasuk Cameron Highlands kita bersyukur dan myPPP anggap ia sebagai pengiktirafan kepada kesetiaan yang ditunjukkan kepada BN selama ini,” ujarnya lagi.
Selain Kayveas, Ketua Pemuda MIC, Datuk C, Sivaraajh juga mendakwa dirinya calon BN di Cameron Highlands mewakil MIC kerana ia kerusi tradisi parti itu sejak beberapa PRU lepas.- MalaysiaGazette
#8216;Suhu’ Cameron Highlands tak sesejuk dulu