KUALA LUMPUR – Ibu kepada salah seorang mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Farah Wahidah Wahid mendakwa pihaknya masih belum menerima sebarang bantuan daripada pihak pengurusan institusi itu.
Farah, 34, ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini memberitahu, pihak pengurusan pusat tahfiz tersebut berjanji akan membuat agihan kepada waris-waris mangsa kebakaran setelah menyelesaikan beberapa perkara.
Bagaimanapun, pihaknya tidak dimaklumkan tarikh atau tempoh masa yang tepat berkenaan pengagihan tersebut sejak tragedi yang melanda institusi itu pertengahan September lepas.
Terdahulu, Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd. Zahid Mahmood menyelar laporan sebuah portal berita yang mempersoalkan proses pembahagian sumbangan awam kepada pusat tahfiz berkenaan.
Beliau yang ditemui pemberita ketika itu kesal kerana seolah-olah dituduh mahu menyeleweng dana yang disumbangkan oleh orang awam.
“Saya sedih apabila dituduh cuba menggelapkan wang sumbangan diterima daripada orang ramai, padahal saya sudah melantik juruaudit bertauliah bagi mengemaskini wang diterima.
“Urusan mengenai wang sumbangan sudah diserahkan kepada juruaudit dan ia mengambil masa sebelum pembahagian dilakukan kepada waris,” katanya.-MalaysiaGazette