Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tanpa perpaduan orang Melayu, kaum dan bangsa lain di negara ini tidak berupaya untuk bernaung di bawah keamanan dan kestabilan politik negara ini.
“Sejarah pembinaan negara bangsa kita ini ialah berpaksikan kepada penyatuan orang-orang Melayu. Kalau orang Melayu mula tidak bersatu, kaum lain tidak akan ada tempat dalam negara ini. Kita kekal berpecah belah dan berada di bawah penjajahan,” katanya pada sidang media, di Bilik Melaka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia bagi persiapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 dan persediaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Annuar mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar baru-baru ini yang melahirkan kebimbangan terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu dan tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin terus berlaku menyebabkan orang Melayu berpecah-belah dan lemah.
Annuar juga berkata, soal penyatuan Melayu menjadi perkara pokok kepada kesejateraan negara dan jika suasana itu tidak dikekang, pembangunan negara akan terhenti dan sukar bergerak ke hadapan.
“Sekarang ini berlaku kuat berpecah adalah orang Melayu. UMNO berpecah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pas pula berpecah, segala orang Melayu berpecah. Jadi ke mana kita.
“Kalau ada kesedaran untuk memikirkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kesatuan ini, itu mesti dan seharusnya sentiasa dialu-alukan,” ujarnya.
Annuar turut mengingatkan pemimpin parti politik pembangkang agar tidak menggunakan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ sebaliknya mengutamakan kesejateraan rakyat dan kemakmuran negara dalam agenda mereka.
“Kita ini walaupun ada pelbagai platform, pelbagai parti, kita yang penting kena tengok matlamat, cara mungkin berbeza-beza, kita tak boleh menghalalkan semua cara semata-mata kita ada matlamat tertentu.
“Kita nak dua-duanya betul, tapi matlamat itu yang lebih penting bukan soal cara sahaja. Matlamat kita dalam soal berpolitik ini ialah kita nak menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Annuar juga menggesa semua pemimpin Melayu Islam agar kembali kepada kaedah penyatuan sebelum era kemerdekaan negara apabila mereka boleh bersatu atas ajaran agama Islam.
“Kita bersatu mengikut ajaran agama Islam, bila orang Melayu bersatu, baru terbentuk negara bangsa dan dari situ akan datang kaum-kaum lain, bangsa lain bernaung bersama dalam bentuk penyatuan ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazzete