Home Nasional Kerajaan perlu bina gerai untuk usahawan Orang Asli – Tok Batin

Kerajaan perlu bina gerai untuk usahawan Orang Asli – Tok Batin

Tok Batin, Razak Beretong

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menyediakan lebih banyak gerai-gerai di kawasan strategik untuk kemudahan usahawan Orang Asli memasarkan hasil hutan kepada orang ramai.

Perkara itu disuarakan oleh Tok Batin, Razak Beretong, 44, yang mewakili masyarakat Orang Asli di kawasannya di Bentong, Pahang.

Katanya, pada masa ini Orang Asli di tempatnya menjual hasil hutan hanya menggunakan gerai-gerai yang dibina sendiri menggunakan kayu dan atap.

“Berniaga seperti itu memang tidak selesa kerana banyak risiko seperti atap bocor dan sebagainya.

“Lagipun tidak ada tarikan untuk pelanggan singgah kerana tempat mereka berniaga tidak digemari oleh mereka yang melaluinya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Karnival Orang Asli Sejahtera di PWTC di sini hari ini.

Menurut Razak, sesuai dengan peredaran semasa, masyarakat Orang Asli juga perlu diberi kemudahan gerai yang lebih selesa kerana hasil hutan yang dijual turut mendapat permintaan tinggi masyarakat di bandar.

“Kalau tempat untuk berniaga kelihatan kemas dan selesa sudah pasti ia akan dikunjungi.

“Sama seperti pusat untuk penjaja atau pasar yang boleh dilihat di bandar-bandar, ramai yang datang berkunjung kerana aktiviti jual beli yang meriah dan teratur.

“Kami juga mahu seperti itu, janganlah sesekali melepas pandang terhadap peniaga masyarakt Orang Asli seperti kami,” katanya yang turut mengambil peluang menjual buah-buahan dan ulam-ulam pada karnival tersebut.

Sementara itu, Razak turut menyuarakan agar kerajaan tidak memandang remeh berhubung isu pengezetan tanah adat untuk Orang Asli.

Katanya, masih berlaku di kawasannya tanah yang sepatutnya digazetkan untuk penduduk Orang Asli diambil tanpa memberikan pampasan yang setimpal kepada pemilik asal.

“Kami mempunyai hak di tanah itu kerana kami adalah pribumi yang dari asal mendudukinya.

“Jadi kalau mereka hendak ambil tanah, berikanlah pampasan yang berbaloi dan bukannya memberi sekadar ada,” tegasnya. – MalaysiaGazette