Home Nasional Rezeki peniaga soto

Rezeki peniaga soto

Pemilik Gerai Soto Haji Masad, Masad Basri menyediakan soto yang dipesan pelanggan di Parit Sikom, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL.

 

PONTIAN – Tidak sempurna ke Pontian jika tidak ke Kedai Soto Hj Masad yang terletak di simpang Jalan Pekan Parit Sikom.

Kedai sederhana itu sering dipenuhi pelanggan dari jauh dan dekat untuk menikmati soto yang dimasak oleh Masad Basri, bekas pengajar Pejabat Tenaga Kerja.

Memulakan perniagaan soto pada pukul 2 petang, kedai Masad tidak pernah lengang. Pantang ada meja kosong, pasti ada pelanggan baharu masuk.

Keenakan soto Masad dengan begedil kentang dan dilengkapkan dengan sambal kicap pedas, membuatkan kebanyakan pelanggan menghirupnya sehingga ke titisan terakhir.

Ini dapat dilihat pada mangkuk-mangkuk kosong yang ditinggalkan pelanggan pada setiap meja.

Pemilik Gerai Soto Haji Masad, Masad Basri menyediakan soto yang dipesan pelanggan di Parit Sikom, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 28 JULAI 2017.

Masad yang menyediakan sendiri ramuan sup soto berkata, pada hari Isnin hingga Khamis biasanya beliau akan memasak untuk 100 orang.

“Tetapi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, pakcik masak lagi banyak, 300 orang kerana pelanggan ramai terutama dari Singapura,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebagai peniaga, Masad berterima kasih kepada Kerajaan Johor yang berterusan memajukan Pontian sebagai salah sebuah kawasan pelancongan semula jadi.

Masad berkata, Pontian yang terkenal Tanjung Piai dan Pulau Kukup, Taman Negara Pulau Kukup serta makanan laut segar menyebabkan populariti itu turut tempias kepada peniaga-peniaga kecil seperti beliau.

Anak jati Pontian itu mengakui daerah tersebut semakin hari semakin berbeza berbanding lima tahun dulu.

Ditambah pula dengan jaringan jalan raya yang semakin baik, penambahan taman-taman perumahan dan perniagaan, pembangunan Pontian begitu dirasai.

“Sudah tentu ia memberi kesan baik kepada masyarakat di sini terutama peniaga-peniaga. Apabila penduduk bertambah, bermakna pendapatan kami begitu juga.

“Sebagai penduduk dan peniaga saya memang gembira melihat perkembangan Pontian dan berharap daerah terus mendapat limpahan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette